Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Bertempat di Kampung Seberang Ramai, Program Semarak Bahasa Peringkat Kebangsaan diadakan bagi memberikan pendedahan tentang kepentingan bahasa dalam kalangan generasi muda hari ini.
Sebanyak 30 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis telah menyertai program tersebut bagi modul tiga, iaitu Ekspedisi Desa Bahasa. Melalui modul tersebut, mereka didedahkan dengan pelbagai elemen didik hibur yang dikawal selia oleh 45 orang fasilitator dan sukarelawan bagi menyelesaikan soalan yang telah disediakan.
Profesor Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengatakan bahawa program ini bertujuan untuk menyemarakkan kembali bahasa yang dicintai ke tahap yang lebih tinggi.
“Pelajar akan diberikan tugasan untuk meneroka sekitar Kampung Seberang Ramai bagi menyelesaikan tugasan yang diberi. Mereka perlu melalui setiap stesen bagi menyelesaikan setiap tugasan yang diberi, seperti teka peribahasa, betulkan ejaan yang salah dan teka silang kata.”
Menurut beliau, UiTM ditugaskan untuk menguruskan program ini sebagai pengantara antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan komuniti sekitar di Perlis untuk membolehkan komuniti menyegarbugarkan kembali bahasa. Selain itu, program ini juga mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak antaranya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Persatuan Penulis Perlis (3P).

Mengulas lebih lanjut, program ini melibatkan pelajar prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan orang awam untuk memberikan pendedahan dan usaha memartabatkan bahasa Melayu semenjak dari kecil bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pada akhir program ini, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Profesor Ts. Dr. Shukor Sanim.