Diterbitkan pada 10 Januari 2023, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis terima kunjungan daripada 14 kepimpinan Old Frees Association 2022-2023 diadakan di Galeri Diraja Arau.

Arau – Bersempena ulang tahun ke-100, Old Frees Association (OFA) akan mengadakan majlis sambutan pada 17 April 2023 akan datang di The OFA, Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah hormat oleh kepimpinan Old Frees Association 2022-2023 yang diketuai oleh Presiden OFA, Andrew Lim Chong diadakan di Galeri Diraja Arau pagi tadi.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam kunjungan sembah hormat tersebut, pihak OFA mempersembahkan undangan rasmi kepada Tuanku Raja Perlis selaku Penaung DiRaja OFA dan Tuanku Raja Muda Perlis untuk berangkat menghadiri sambutan perayaan tersebut.

Baginda berdua yang juga merupakan bekas pelajar Penang Free School itu turut dipersembahkenalkan kepada sebanyak 14 orang ahli jawatankuasa The Old Frees’ Association dan juga ahli jawatankuasa sambutan OFA yang ke-100.

Antara ahlinya, termasuklah Naib Presiden, James Liaw Keng Siong, Setiausaha Kehormat, Alex Tan Hee Aik dan Bendahari Kehormat, Raman a/l R. M. Athappan.

Majlis sembah mengadap tersebut diselaraskan oleh Naib Presiden OFA, Enrique Tan Kim Hock dan Ahli Seumur Hidupnya, Ivan Ooi.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, isu penghijrahan kumpulan profesional, tenaga pakar dan bakat ke luar negara adalah penting untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik atau lebih dikenali sebagai brain-drain yang merupakan satu isu amat besar dan tidak boleh diambil mudah kerana bakal memberikan kesan kepada negara.

Pada masa yang sama, Tuanku Raja menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu diberikan perhatian penuh dan dinilai tambah tanpa mengubah polisi tertentu setiap kali bertukar pucuk kepimpinan. Hal ini dikatakan demikian kerana kesannya akan terpalit kepada generasi muda, terutamanya dalam usaha melahirkan tenaga pakar dan bakat dalam negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi