Diterbitkan pada 8 Disember 2022, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kunjungan hormat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak ke Yayasan Tun Jugah (YTJ) bertujuan untuk mengetahui tentang peranan dan fungsi agensi tersebut dalam mengangkat karya masyarakat Iban di negeri Sarawak  

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke Yayasan Tun Jugah (YTJ) yang bertempat di Bangunan Tun Jugah, Kuching untuk mengetahui tentang peranan dan fungsi agensi tersebut dalam mengangkat karya masyarakat Iban di negeri Sarawak. Sebagai sebuah agensi yang memfokuskan kepada masyarakat Iban, YTJ dilihat mampu untuk bersama-sama DBP Cawangan Sarawak dalam memartabatkan karya-karya masyarakat Iban.

Kunjungan oleh pihak DBP Cawangan Sarawak yang diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak disambut sendiri oleh YBhg. Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, Pengerusi YTJ bersama-sama pengurusan tertinggi.

Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak melihat budaya dan kearifan tempatan masyarakat Iban.

Dalam pertemuan tersebut, Pengarah DBP Cawangan Sarawak menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dan memberikan komitmen dalam menyumbang kepakaran menerbitkan karya dalam bahasa Iban. Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju supaya kerjasama ini dapat diperluas dalam bentuk penyelidikan yang meliputi bidang sastera, budaya dan kearifan tempatan masyarakat Iban.

Selain itu, menyentuh tentang buku sastera Iban yang pernah diterbitkan oleh Biro Kesusasteraan Borneo (BLB) seperti Tiga Belas Bangkah Mimpi (1962), Raja Berani (1967) dan sebagainya, DBP Cawangan Sarawak dan YTJ bersetuju supaya penerbitan semula buku berkenaan dilakukan.

Kedua-dua pihak bersepakat bahawa usaha penerbitan semula itu kelak akan mengekalkan bahasa asal karya tersebut, ialah dalam bahasa Iban dengan menggunakan ejaan terkini DBP dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah turut berharap kerjasama YTJ dan DBP Cawangan Sarawak pada masa hadapan dapat dipertingkatkan supaya penerbitan karya klasik Iban yang terdapat dalam simpanan YTJ dalam bentuk kaset, transkripsi dan sebagainya dapat didokumentasikan dalam bentuk buku untuk tatapan generasi masa hadapan. Selain itu, beliau turut menyentuh tentang kepentingan adat dan pantang larang dalam masyarakat Iban yang perlu dipertahankan dan dipelihara.

Lawatan ke Pejabat Yayasan Tun Jugah dan beberapa buah galeri turut diadakan.

Rombongan DBP Cawangan Sarawak turut diiringi oleh Puan Melia Linggi untuk melawat ke Aras 4 yang menempatkan Pejabat Yayasan Tun Jugah dan beberapa buah galeri. Galeri tersebut menempatkan bahan sejarah, maklumat tentang kaum Iban, tokoh pejuang Iban seperti Tun Jugah anak Barieng yang merupakan seorang negarawan yang terlibat dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. Selain itu terdapat juga galeri tekstil Pua Kumbu, iaitu kain tenunan bercorak yang amat terkenal dan sinonim dengan masyarakat Iban.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Ja’afar Haji Hamdan, Pemangku Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan, Encik Abdul Rasid Haji Subet, Ketua Unit Penyelidikan Sastera dan Pelbagai Kaum, Puan Edith Sulie Bidas dan Ketua Unit Penerbitan, Puan Hajijah Haji Mainol.

Kunjungan ini diharap akan mengerat lagi hubungan antara DBP dengan pihak luar serta memperluas kerjasama antara DBP dan agensi-agensi di Sarawak dalam mengangkat karya sastera dan kearifan tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi