Diterbitkan pada 20 November 2022, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini berdepan dengan desakan daripada segelintir pemimpin partinya sendiri untuk segera berundur dan memberikan kepimpinan UMNO kepada pelapis dan generasi baharu. Perkembangan ini berlaku ekoran daripada kekalahan terburuk BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini.

Sebelum turun “berperang” dalam PRU kali ini, beliau yakin bahawa BN akan mampu membentuk kerajaan tanpa perlu mendapat sokongan daripada parti lain selain BN. Tetapi, perkara yang terjadi adalah sebaliknya. Keretakan telah mulai timbul apabila BN mengumumkan nama-nama calon BN.

Pemimpin UMNO yang selama ini dilihat bertentangan dengannya digugurkan daripada menjadi calon PRU. Antara nama besar yang digugurkan oleh beliau ialah Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kasssim, Tan Sri Noh Haji Omar, dan Datuk Zahidi Zainul Abidin. Lebih parah lagi, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim yang merupakan pemimpin UMNO Perlis bertanding di bawah tiket PN dan mendapat kemenangan selesa.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kini, keputusan PRU sudah diketahui, dan suara penentangan lebih jelas didengungkan. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan antara pemimpin UMNO awal yang menuntut supaya beliau melepaskan jawatannya. Ujarnya,

Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah. Usaha untuk memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.

Selain itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Haji Omar turut meletakkan jawatan dan mengharapkan agar Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi berbuat perkara yang sama.

Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana presiden tidak percayakan saya dan saya pun tidak percayakan presiden.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga menggesa Pengerusi BN itu agar meletakkan jawatan. Beliau menyatakan bahawa tanpa rasa hilang hormat kepada Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden UMNO itu perlu mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk mereka dalam sejarah pilihan raya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi