Setakat berita ini ditulis, masih tidak ada lagi parti dan gabungan yang memiliki majoriti jelas “untuk ke Putrajaya”. PH sedang mendahului dengan memiliki 73 kerusi, namun menurut perkembangan semasa, tiada mana-mana parti mampu memperoleh majoriti mudah 111 kerusi.
Oleh itu, NGO Bersih dalam kenyataannya memberikan beberapa syor. Antaranya ialah:
Kerajaan dibentuk melalui rundingan rentas parti oleh pemimpin parti, dan bukannya melalui akuan berkanun (SD) atau temu bual dengan ahli parlimen.
Blok terbesar mendapat keutamaan untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu, dan diberikan tempoh masa untuk berbuat demikian. Apabila tempoh itu tamat, giliran blok kedua terbesar akan cuba membentuk kerajaan.
Parti yang membentuk kerajaan akan melancarkan dasar berpandukan manifesto masing-masing.
Kerajaan harus berkhidmat sepenggal penuh dengan majoriti selesa untuk menanam keyakinan orang ramai.
Undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen dalam tempoh dua minggu pelantikan untuk memperkukuh keabsahan kerajaan dan menghalang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.
Semua perjanjian perbekalan keyakinan atau membentuk gabungan perlu didedahkan kepada umum.
Pembentukan dan pengiktirafan kabinet bayangan dengan gaji dan sumber yang setimpal.
Akta Pembiayaan Politik diluluskan di Parlimen.
Pengasingan pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara untuk melindungi kerajaan gabungan daripada dakwaan mempunyai kuasa yang tidak terkawal, dan untuk kes mahkamah yang sedia ada berjalan tanpa gangguan. Semua ahli parlimen yang mempunyai kes mahkamah yang belum selesai tidak terlibat dalam kabinet.