Diterbitkan pada 20 November 2022, 01:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Suasana ketika malam kemuncak kempen di Tambun.

Ipoh – Tambun sah milik Presiden Pakatan Harapan (PH) Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Setakat berita ini ditulis, beliau selesa mendahului dengan majoriti lebih daripada 5000 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini. Beliau mendapat 35 940 undi. Jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Tambun adalah sebanyak 160 558.

Pencabar terdekat beliau, iaitu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Tambun sendiri yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti BERSATU meraih undi sebanyak 31 033, manakala pencabar lain, iaitu Aminuddin Md Hanafiah daripada Barisan Nasional mendapat 18 299 dan Abdul Rahim Tahir daripada PEJUANG meraih undi sebanyak 760.

Kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini sudah dijangka oleh banyak pihak, terutamanya daripada beberapa orang penganalisis politik terkenal serta ulasan dan pandangan daripada penduduk yang berada di bawah Parlimen Tambun sendiri. Hal ini dapat dilihat ketika suasana dan keadaan malam kemuncak kempen sebelum hari pengundian esoknya (19 November 2022). Hanya kempen Pakatan Harapan yang meriah dan dibanjiri orang ramai pada malam terakhir berbanding dengan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional serta Pejuang.

Salah sebuah poster kempen Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Tambun.

Tinjauan wartawan Dewan Masyarakat pada malam kemuncak kempen tersebut seakan-akan memberikan petanda awal terhadap kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Salah seorang pengundi muda yang berusia 33 tahun yang hanya mahu dikenali dengan nama Muhammad Faliq, menyatakan bahawa walaupun Anwar Ibrahim bukan merupakan penduduk asal Tambun, namun karakter dan auranya terserlah, tambah-tambah lagi beliau merupakan calon Perdana Menteri daripada Harapan. Ujarnya,

Saya secara peribadi sebagai pengundi muda merasakan bahawa tiada calon Perdana Menteri yang lebih bagus daripada Anwar Ibrahim. Peja bagus dan jika bukan Anwar Ibrahim yang menentangnya, berkemungkinan besar Peja boleh kekalkan kerusi ini.

SMK Tambun yang merupakan salah satu tempat mengundi bagi Parlimen Tambun.

Bagaimanapun, kemenangan beliau ini (setakat berita ini ditulis) tidak boleh memastikan secara utuh adakah beliau akan menjadi Perdana Menteri yang seterusnya? Adakah slogan kempen beliau, iaitu “Dari Tambun untuk Malaysia” bakal menjadi realiti? Apa-apa pun, kini sah Tambun milik Anwar!

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi