Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuar – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menang besar dengan majoriti 10 007 undi dengan memperoleh 24 986 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Pagoh yang juga Perdana Menteri Malaysia Kelapan itu berjaya menewaskan pencabar daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim (14 426 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah (14 979 undi).
Kemenangan bergaya Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menepati ramalan banyak pihak termasuklah penganalisis politik apabila mendahului pengiraan undian di P.143 Parlimen Pagoh dengan meninggalkan dua orang calon yang lain dengan kelebihan 10 000 undi setakat 11.00 malam tadi. Kelebihan ternyata memihak kepada beliau yang telah mewakili kerusi tersebut sejak 1978.
Kesemua calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh sejam penamaan calon tamat tepat jam 10.00 pagi tadi. Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Muhammad Helmi Ya’kub setengah jam selepas tempoh pencalonan ditutup.
Tan Sri Muhyiddin merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi diikuti oleh Iskandar Shah, pada pukul 9.08 pagi, manakala Datuk Seri Razali Ibrahim pada pukul 9.12 pagi tadi.
Ratusan penyokong parti yang bertanding memenuhi perkarangan pusat konvensyen berkenaan seawal jam 8.30 pagi dengan mengiringi calon masing-masing dalam sebuah persaingan yang begitu sengit kerana kerusi Parlimen Pagoh disifatkan sebagai antara kerusi tumpuan pada PRU-15 ini.
Untuk rekod, beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada 29 Februari 2020 dan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 1 Mac 2020 selepas peletakan jawatan yang tidak dijangka seluruh rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020.
Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan pada 16 Ogos 2021 selepas kehilangan kepercayaan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat yang diketuai oleh ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama 14 orang ahli Parlimen BN daripada UMNO dan kesemua 115 orang ahli Parlimen pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah, Parti Pejuang Tanah Air, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu dan Bebas.
Beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga 21 Ogos 2021, iaitu selama 17 bulan, dua minggu dan satu hari. Selepas itu, jawatan Perdana Menteri tersebut diambil alih oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan. Pada 4 September 2021, beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang merupakan Ketua Setiausaha Negara.
Uniknya beliau sebagai seorang daripada pemimpin berpengaruh di negara ini, Tan Sri Muhyidin Yasin juga merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir. Beliau pernah mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Presiden sebelum menubuhkan Perikatan Nasional berikutan peristiwa yang dinamakan “Langkah Sheraton”.
Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Pakatan Harapan dari tahun 2016 hingga awal 2020. Selain itu, beliau turut berpengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri dari tahun 2009 hingga 2015, Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO dari tahun 2009 hingga 2016 sebelum digugurkan oleh Perdana Menteri Keenam pada ketika itu, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dan digantikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri selepasnya.
Beliau dibesarkan di Johor dan menyertai perkhidmatan awam negeri selepas menamatkan pengajian dari Universiti Malaya, selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan korporat. Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan figura politik tanah air yang turut melalui perjalanan politik penuh warna-warni kerana pernah menyertai setiap parti utama di negara ini, di samping mengekalkan rekod cemerlang di Parlimen Pagoh dengan mewakili parti yang berbeza.