Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Gabungan politik tunggal dijangka akan membentuk kerajaan bersendirian jika jumlah peratusan keluar mengundi terus meningkat antara tujuh hingga 10 peratus pada setiap jam secara konsisten.
Kumpulan Ahli Akademik dan Penyelidik Sains Politik, Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF) membuat jangkaan itu jika jumlah peratusan mengundi terus meningkat secara konsisten sehingga tamat tempoh pengundian pada pukul 6.00 petang ini.
Pengerusi NARATIF, Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman, berkata bahawa peratusan keluar mengundi secara konsisten itu turut melibatkan kalangan pengundi baharu dan pengundi muda.

“Senario gabungan parti tunggal yang boleh membentuk kerajaan itu akan berlaku jika peratusan mengundi mencecah 83 hingga 86 peratus ketika tamat pengundian,” jelas beliau.
Tinjauan wartawan Dewan Masyarakat yang menemu bual pengundi kawasan Parlimen Pagoh rata-ratanya menjangkakan bahawa peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada hari ini dijangka melebihi 80 peratus.
Jangkaan itu berdasarkan lebih 21 juta pengundi berdaftar termasuklah pengundi yang berumur 18 tahun yang dipercayai menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari ini berdasarkan rekod Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini sehingga 9 Oktober 2022.
Selain itu, ramalan ini juga melibatkan kesedaran pengundi yang pulang ke tempat mengundi masing-masing selepas kerajaan sementara mengisytiharkan 18 November 2022 (semalam) dan hari ini (19 November) sebagai hari kelepasan am.
Malah, keadaan trafik yang sesak sejak semalam, selain jumlah tiket bas dan kereta api yang dilaporkan telah mencapai hampir 100 peratus daripada kuota disediakan menguatkan lagi ramalan bahawa peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada PRU-15 ini.
Dewan Masyarakat turut mendapatkan pandangan Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkaitan dengan ramalan pembentukan kerajaan tunggal ini jika peratusan pengundian melebihi 80 peratus. Dalam hal ini, beliau berpandangan bahawa perkara ini mungkin disebabkan keinginan pengundi yang mahu akan sebuah kerajaan yang stabil berikutan berlakunya pelbagai peristiwa politik sebelum ini.
“Saya fikir untuk membentuk kerajaan tunggal agak sukar diramalkan kerana untuk mendirikan sebuah kerajaan bersifat tunggal, parti politik yang berkenaan perlu mendapatkan sokongan rakyat secara menyeluruh termasuklah di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur. Jika tidak, agak sukar untuk kita meramalkan situasi tersebut dalam tempoh sehari,” jelas beliau kepada Dewan Masyarakat ketika dihubungi sebentar tadi.
Profesor Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Profesor Dr. Wong Chin Huat tidak menafikan semangat pengundi yang berkobar-kobar akan memangkah calon pilihan masing-masing pada kertas undi. Walau bagaimanapun, beliau menjangka peratusan undi hanya mencecah antara 60 sehingga 65 peratus disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu di beberapa buah kawasan di seluruh negara.
“Kita lihat semangat pengundi berkobar-kobar untuk keluar mengundi sama ada di dalam atau di luar negara, malah melibatkan puluhan syarikat perniagaan yang memberikan diskaun atau barangan percuma kepada pengundi yang menunjukkan jari berdakwat selepas mengundi. Namun begitu, saya menjangkakan bahawa kadar mengundi tidak akan mencapai 80 peratus kerana cuaca yang buruk,” jelas beliau.
Untuk rekod, PRU-14 menyaksikan 82.32 peratus pemilih keluar mengundi atau sebanyak 12 229 514 daripada 14 940 624 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). DPPR bagi PRU-15 pula mencatat 21 173 638 pemilih yang terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa, 146 737 tentera serta pasangan, 118 794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Menurut SPR, seluruh pusat pembuangan undi dijangka akan ditutup sepenuhnya pada pukul 6.00 petang ini.