Diterbitkan pada 18 November 2022, 23:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan sambutan serta sokongan orang ramai terhadap kempen gabungan parti itu di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sebagai luar biasa.

Prihatin, Bersih dan Stabil, merupakan tawaran PN kepada pengundi yang akan mengundi esok.

Beliau menyifatkan hal tersebut juga seolah-olah membayangkan ada gelombang besar daripada rakyat yang mahu memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini.

“Setiap kawasan yang saya lawati serta tinjau secara dekat, saya mendapati sokongan pengundi di hampir semua negeri yang saya lawati adalah luar biasa dan ini adalah satu petanda bahawa PN akan menang pada PRU-15,” ujar beliau dalam sebuah ceramah di sini.

Tinjauan wartawan kami pada malam ini mendapati tawaran Perikatan Nasional (PN) untuk PRU-15 berteraskan Prihatin, Bersih dan Stabil yang akan menjadi wadah dalam membawa harapan rakyat dan negara ke arah Malaysia yang lebih gemilang.

Tawaran PN ini disifatkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai amat realistik kerana disifatkan tidak sekadar janji-janji pilihan raya, tetapi mampu dilaksanakan oleh Perikatan Nasional sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada 19 November (esok).

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan PN adalah jelas, iaitu untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara keseluruhannya. Antara tawaran utama adalah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara, Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi.

“Perikatan Nasional akan berpegang teguh pada amanah untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan kerana kita cukup sedar bahawa tawaran kita adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat, ujar beliau lagi.

Pada masa yang sama, tinjauan wartawan kami di Bera pula mendapati Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan empat iltizam beliau untuk Malaysia sekiranya diberikan peluang untuk meneruskan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menyatupadukan rakyat menjadi antara iltizam Dato’ Sri Ismail Sabri sekiranya diberikan mandat untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Beliau berkata, iltizam pertama adalah untuk menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia, manakala kedua, menyuburkan kemakmuran ekonomi serta pembangunan negara. Yang ketiga, menurut beliau adalah untuk memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta keempat, memperkasakan integriti tadbir urus negara.

“Inilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita. Saya, Ismail Sabri Yaakob dengan rendah diri, memohon kepada semua pengundi untuk memberikan kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara bagi penggal akan datang, jelas beliau pada hari terakhir kempen. “Semoga Allah SWT terus merahmati serta memelihara negara dan Keluarga Malaysia. Undilah Barisan Nasional. Terima kasih Keluarga Malaysia!” akhiri beliau dalam kenyataan Amanat PRU-15 pada hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan tabir urus negara yang lebih baik sekiranya diberikan mandat menawan Putrajaya.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpindah kerusi Parlimen dari Port Dickson ke Tambun pada PRU-15 kali ini terus memfokuskan usaha beliau terhadap pelibatan golongan muda dalam memilih kerajaan. “Anak muda tidak alpa akan tanggungjawab mereka kerana kita faham sikap elit politik sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengecewakan mereka tatkala jawatan diagih tetapi kepentingan rakyat diketepikan. Saya yakin anak muda pada hari ini jauh lebih matang dan berfikiran kritis untuk menilai sikap kepimpinan setiap parti politik dan Insya-Allah mereka pastinya akan memilih Harapan. Ayuh anak muda bangkit bersama Harapan!” jelas beliau dalam sebuah ceramah mega pada malam terakhir kempen. Beliau berharap agar kawasan Tambun dapat dikenali di mata dunia sekali gus dapat memasuki peta dunia. Dalam amanat beliau pada malam terakhir kempen, Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyentuh soal tadbir urus negara yang baik dan berkesan demi mengelakkan ketirisan.

Siapa yang bakal mendapat mandat daripada rakyat, sekali gus membentuk kerajaan baharu, segala-galanya akan terjawab esok.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi