Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – “Para Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) hendaklah menjadi “Mata dan Telinga” kepada pasukan keselamatan negara. Mereka perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama berhubung perihal komuniti setempat agar sebarang keadaan yang tidak diingini dapat dielakkan.”

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam sempena Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Raia Hotel, Alor Setar malam semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Leftenan Kolonel Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli selaku Komandan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Turut hadir, Ketua Polis Perlis DCP Dato’ Surina Saad dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Majlis berkenaan adalah bagi meraikan Pegawai-pegawai Muda yang telah ditauliahkan pada Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 Zon Utara kepada Pegawai Muda PALAPES UniMAP Kelompok 13 yang telah diadakan di Universiti Sains Malaysia pada 7 Februari 2022 yang lalu dan juga Istiadat Pentauliahan DiRaja Kadet PALAPES Universiti Awam ke-40 kepada Pegawai Muda PALAPES Darat UniMAP Kelompok 14 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 10 September 2022.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Canselor UniMAP turut mengingatkan para Pegawai Muda supaya hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana yang diramalkan berlaku terutamanya pada penghujung tahun di mana banjir kerap kali menimpa negara ketika itu. Bergantung kepada arahan sama ada daripada pihak institusi mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri, para Pegawai Muda harus sentiasa bersedia untuk menabur khidmat dan bakti dalam menjamin keselamatan komuniti setempat.
Titah Tuanku Raja Muda lagi, mereka hendaklah menjaga keharmonian hidup bermasyarakat walau di mana berada khususnya menjelang Pilihan Raya Umum yang akan berlangsung pada 19 November ini, demi menjaga nama baik universiti dan juga PALAPES agar kedaulatan negara sentiasa terjaga.