Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – “Marilah kita bersama-sama menjaga kedaulatan negara Malaysia kita yang tercinta ini.”
Usaha mengekalkan keharmonian negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum bukan sesuatu yang mudah. Tanpa kerjasama daripada generasi muda terutamanya, nescaya negara akan menghadapi kepincangan dengan perpaduan rakyatnya yang rapuh pada masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, rakyat hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara dan ikrar sebagai rakyat Malaysia yang setia bagi mengelakkan kesejahteraan negara terjejas.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Abrar, Kampung Kubang Gajah di mana masing-masing menerima RM700 setiap seorang untuk diagihkan oleh amilnya, Johare Harun baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda kemudiannya turut berkenan singgah menziarahi tiga buah rumah keluarga asnaf dalam program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-72 bagi tahun 2022. Mereka yang disanjungi dan disampaikan sumbangan MAIPs ialah Safiai Lah, 68 tahun; Hamidon Abdul Razak, 58 tahun dan Ramlah Abu Bakar, 71 tahun.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.