Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Chuping – Cabaran besar pada hari ini adalah tentang peranan universiti untuk kekal relevan dalam memberikan sumbangan yang bernilai terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Bukan sekadar bertanggungjawab untuk melahirkan mahasiswa berkualiti dan berintegriti sebagai pemimpin masa hadapan, tetapi juga untuk pihak berkuasa, pembuat dasar, dan pelaksana dasar menerima idea dan pemikiran ilmuan kita dalam melakukan perubahan yang memberikan impak.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada sebanyak 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Husna, Batu Bertangkup, Chuping melalui amilnya Zakaria Hashim, baru-baru ini. Penyerahan tersebut diadakan di perkarangan Harvest Bakery Program Transformasi Destini Zakat MAIPs di Taman Desa Asnaf (TDA) Batu Bertangkup dan masing-masing menerima RM700.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis berharap agar mahasiswa hendaklah mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh melanggar peraturan sama ada peraturan di dalam kampus mahupun di luar kampus. Hal ini dikatakan demikian kerana mahasiswa merupakan contoh teladan kepada masyarakat.
Tuanku Raja Muda Perlis turut bertitah,
Berjauhan dengan keluarga bukan tiket kebebasan untuk melakukan perkara yang dilarang, baik dari segi agama mahupun undang-undang.
Turut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.