Diterbitkan pada 3 November 2022, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Sesi taklimat penerbitan disampaikan oleh Puan Noorzanani Haji Kata, Ketua Unit Penerbitan.

Keningau – Usaha DBP Cawangan Sabah menyebarluaskan ilmu dalam bidang penulisan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada golongan pendidik di sini. Kunjungan awal DBP Cawangan Sabah kali ini untuk melihat peluang penerbitan yang boleh diadakan secara kerjasama dengan IPG Kampus Keningau pada masa akan datang. Taklimat ini dihadiri oleh pensyarah IPG Kampus Keningau, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau dan pelajar IPG Kampus Keningau.

Taklimat umum penerbitan DBP ini disampaikan oleh Puan Noorzanani Haji Kata selaku Ketua Unit Penerbitan. Taklimat tersebut diterangkan secara menyeluruh tentang proses penerbitan dan perolehan bagi judul buku umum, buku sastera, buku kanak-kanak dan buku kreatif dan majalah.

Selain itu, Puan Noorzanani turut mendedahkan peluang yang luas kepada hadirin untuk menghantar karya penulisan mereka dalam majalah e-Wadah. Majalah e-Wadah ini membuka peluang kepada penulis yang berasal dari negeri Sabah untuk melebarkan sayap penulisan mereka, seterusnya membuka ruang juga untuk penulis baharu di Sabah untuk menapak dalam bidang penulisan.

Dalam perkembangan yang sama, Puan Norma Sanid pula selaku pegawai projek menyampaikan taklimat tentang Kertas Cadangan Judul bagi perolehan manuskrip buku umum di DBP Cawangan Sabah. Pensyarah digalakkan untuk menghasilkan buku umum atau buku ilmiah berdasarkan penyelidikan tesis mereka yang sedia ada. Hal ini dikatakan demikian ilmu tesis itu tidak terbatas kepada penyelidik sahaja.

Projek secara kerjasama antara DBP Cawangan Sabah dengan IPG Kampus Keningau dalam bidang penerbitan akan diusahakan pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi