Diterbitkan pada 3 November 2022, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melancarkan secara rasmi Kod Kandungan 2022 yang baharu, iaitu panduan komprehensif yang menggariskan amalan terbaik dan standard etika untuk penciptaan dan kurasi kandungan. Rombakan kod ini ialah bukti komitmen dan dedikasi Forum Kandungan untuk memajukan landskap kandungan yang mantap dengan membangunkan standard kandungan yang mencerminkan masa kini dan setanding dengan amalan terbaik global.

Pelancaran Kod Kandungan 2022 oleh Pengerusi Forum Kandungan bersama-sama panel jemputan.

Kod Kandungan 2022 baharu ini merupakan hasil daripada proses yang meluas oleh Forum Kandungan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk orang ramai. Hasil daripada perundingan awam di seluruh negara yang dijalankan tahun lepas, Forum Kandungan telah mengumpul maklum balas melalui pelbagai dialog awam dan menerima kira-kira 1245 penyerahan bertulis daripada individu. Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan berkata:

Perundingan awam membantu kami mengenal pasti dan menangani beberapa kebimbangan yang telah tercetus baru-baru ini dalam industri kandungan. Di Forum Kandungan, kami percaya bahawa pembentukan dasar yang paling baik dilakukan dengan input bukan sahaja daripada pembuat dasar dan pengawal selia tetapi juga setelah berunding dengan industri, pihak berkepentingan dan orang awam. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian.

Dalam usaha untuk memastikan kod itu terus memudahkan pengawalan kendiri dalam ekosistem kandungan Malaysia sambil berkembang seiring dengan peredaran zaman, rombakan itu bertujuan menyumbang secara signifikan sebagai garis panduan dalam menangani pelbagai isu dan mencetuskan perbualan penting dalam kalangan pengguna hari ini. Hal ini termasuklah eksploitasi agama dalam produk pengiklanan, etika pelaporan kes bunuh diri dalam berita, menangani pengiklanan mengelirukan yang disokong oleh pempengaruh, mengelakkan kebimbangan mendesak mengenai pengiklanan untuk kanak-kanak, menangani penderaan dalam talian dan keganasan berasaskan jantina, dan kebolehcapaian maklumat untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Dengan adanya garis panduan ini, kandungan berbahaya dan penyalahgunaan maklumat dapat dielakkan dengan lebih berkesan. Apabila lebih ramai pencipta kandungan menyedari implikasi dan peraturan tentang perkara yang boleh atau tidak boleh diterbitkan, hal ini akan membina kepercayaan dan kredibiliti awam. Kod ini juga menggalakkan pemain industri untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kandungan yang dikongsi. Hal ini penting terutamanya pada masa kini kerana ekosistem kandungan telah menjadi begitu luas tanpa sempadan sehingga sukar dikawal, dan perkara ini menjadikan pengawalan kendiri sebagai salah satu cara terbaik dan berkesan untuk membina ruang kandungan yang lebih sihat. Kebergantungan kepada pihak berkuasa atau kawalan pihak ketiga ke atas kandungan sahaja tidak mencukupi, melihat kepada skala dan kadar di mana kandungan tersebar dalam talian. Forum Kandungan menyokong semua orang dalam ekosistem kandungan untuk memainkan peranan masing-masing dalam mengawal selia sendiri kandungan yang dibentuk dan digunakan oleh mereka.

 

Pelibatan Pihak Berkepentingan Utama

Dalam usaha untuk memupuk wacana berterusan mengenai ekosistem kandungan yang kompleks dalam kalangan pihak berkepentingan utama industri, satu sesi dialog bertajuk “Content: Who’s in Control?” telah dianjurkan pada 2 November 2022 di Auditorium Connexion Conference & Event Centre (CCEC), Bangsar South sempena pelancaran rasmi Kod Kandungan baharu ini. Ahli panel daripada pelbagai bidang industri kandungan berkumpul untuk membincangkan peraturan kandungan dan bagaimana pengawalan kendiri bertindak sebagai cara terbaik untuk bidang kandungan global yang lebih sihat. Ahli panel terdiri daripada Euan Smith, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro; Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan; Ruben Hattari, Pengarah Dasar Awam Netflix; Nini Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV Media Prima dan Dinesh Ratnam, Pengurus iQiyi Rantau Malaysia, Singapura dan Brunei.

Euan Smith, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro.
Ruben Hattari, Pengarah Dasar Awam Netflix.
Nini Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV Media Prima.
Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan.
Dinesh Ratnam, Pengurus iQiyi Rantau Malaysia, Singapura dan Brunei.

 

 

 

 

 

 

 

Kenny Ong, Pengerusi Forum Kandungan berkata:

Kami bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri utama untuk memajukan standard kandungan negara. Ahli panel kami yang dihormati membawa pemikiran yang berbeza mengenai kawalan serta memberi penerangan tentang bagaimana industri mengendalikan perbincangan mengenai hal ini dari industri berpusatkan media tradisional. Perbincangan berterusan seperti ini dan penglibatan dengan industri ialah sesuatu yang ingin kami pupuk. Hal ini selaras dengan bagaimana Kod Kandungan telah direka dan bagaimana kod ini akan terus digunakan dalam usaha memupuk landskap kandungan yang progresif untuk semua rakyat Malaysia untuk generasi akan datang,

Moderator, Cynthia Ng dari Astro Awani mengendalikan sesi dialog bersama-sama panel jemputan.

Meningkatkan Aras dalam Pengawalan Kendiri tentang Kandungan

Pertama kali ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kod Kandungan bertujuan menyediakan industri yang kompetitif, cekap dan mengawal selia sendiri, sambil menangani jurang dasar dan menekankan keperluan penting untuk menegakkan hak, keselamatan dan kebajikan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah wakil daripada SKMM yang menyedari bahawa Kod Kandungan yang dikemas kini telah pun digunakan dengan baik, mendorong perbincangan mengenai isu-isu berkaitan kandungan yang jarang dibincangkan oleh orang ramai.

Kami berharap Kod Kandungan 2022 baharu ini akan memperkasakan landskap kandungan Malaysia. Terima kasih kepada organisasi seperti Forum Kandungan, yang komited untuk memudahkan pengawalan kendiri dan kandungan selamat. Sejak awal, Forum Kandungan telah komited untuk memastikan Kod Kandungan kekal relevan dan progresif. Saya pasti bahawa kita akan melihat lebih banyak perubahan dalam Kod pada masa akan datang apabila industri kandungan berkembang dan isu baharu timbul. Perkara ini juga selaras dengan visi SKMM untuk mewujudkan industri yang berdaya saing, cekap dan sentiasa mengawal selia kendiri untuk terus mendahului perubahan zaman.

Kod Kandungan 2022 telah didaftarkan secara rasmi dan berkuat kuasa pada 9 Jun 2022 dan boleh didapati di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Content-Code-2022.pdf.  Untuk maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan dan Kod Kandungan, sila layari https://contentforum.my/.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi