Diterbitkan pada 31 Oktober 2022, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Tetamu undangan dan pelajar Politeknik Nilai yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai.

Nilai – “Bagi mencapai status negara maju, masyarakatnya haruslah menjadi masyarakat yang membaca,” demikian petikan ucapan Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai pada pagi ini.

Tambah beliau, dari aspek penerbitan buku di Malaysia, negara kita hanya menerbitkan 13 655 judul buku pada tahun 2021 berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 15 080 judul buku. Penurunan jumlah penerbitan tersebut berkait rapat dengan usaha kita mempergiat penerbitan buku dan memartabatkan ilmu bagi melahirkan masyarakat membaca.

Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

“Setelah 66 tahun penubuhannya, DBP telah merangka pelan strategi yang jitu, iaitu Pelan Strategi DBP 2021 – 2025 sebagai usaha untuk melestarikan bahasa dan persuratan Melayu dengan menekankan tiga strategi utama, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu menjadi bahasa negara dan bahasa Melayu menjadi bahasa ekonomi,” ujar YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika mengulas dengan lebih lanjut tentang peranan DBP dalam memartabatkan ilmu dan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Tidak dapat dinafikan bahawa penerbitan pada masa ini telah mengalami transformasi yang seiring dengan dunia digital. Oleh itu, DBP juga tidak ketinggalan dengan memperkenalkan JendelaDBP yang menyediakan bahan penerbitan dan juga siaran televisyen serta radio penstriman yang boleh diakses oleh masyarakat pada bila-bila masa. Melalui JendelaDBP, pembaca dapat membaca artikel dan berita yang berkonsepkan isu semasa, sekali gus dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Politeknik Nilai, Negeri Sembilan, YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria.

Cabaran pembacaan dalam era digital turut dikupas oleh Pengarah Politeknik Nilai, YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria ketika menyampaikan ucapan alu-aluan. Beliau mengatakan bahawa masyarakat pada masa ini lebih memilih bahan bacaan secara dalam talian atau digital. Situasi tersebut dapat dilihat apabila terdapat dalam kalangan syarikat penerbitan buku dan surat khabar yang tidak dapat meneruskan lagi operasi mereka dalam bidang penerbitan kerana bersaing dengan medium tersebut.

Sempena Program Dekad Membaca Kebangsaan, terdapat pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan untuk menyemarakkan minat membaca dalam kalangan pelajar di Politeknik Nilai. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Seni Coret (Doodle) dan Pertandingan Membaca Berita. Aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai tersebut merupakan usaha kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Politeknik Nilai dengan DBP. Aktiviti tersebut berjaya menarik minat para pelajar tanpa mengira bangsa. Bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai tersebut juga turut diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dan penerima sagu hati bagi setiap aktiviti yang dipertandingkan.

Nur Zafira Izzati Mohamad Azmir, Johan Pertandingan Deklamasi Sajak.
Muhammad Hasif Akil, Johan Pertandingan Seni Coret (Doodle).
Senarai penuh pemenang aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Politeknik Nilai.

Menurut YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly, aktiviti tersebut dapat membantu usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar dan warga Politeknik Nilai. Hal ini dikatakan demikian kerana sekiranya kita melihat data yang dikeluarkan oleh World Culture Score Indeks, purata rakyat Malaysia membaca dalam tempoh seminggu ialah tiga jam dan purata tersebut jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan negara lain. Oleh itu, pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat harus dipergiat kerana melalui pembacaan, masyarakat berupaya mengeksplorasi dunia.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan DMK Peringkat Politeknik Nilai pada pagi ini ialah Timbalan Pengarah Politeknik Nilai, YBrs. Encik Zainal Ab Rahman, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Aninah Janang, pensyarah dan pegawai dari Politeknik Nilai dan DBP, serta pelajar Politeknik Nilai.

Dari kiri: Timbalan Pengarah Politeknik Nilai, YBrs. Encik Zainal Ab Rahman, Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Pengarah Politeknik Nilai, YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi