Diterbitkan pada 27 Oktober 2022, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Tentera Darat Malaysia Siri Ke-33 Tahun 2022 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 30 Oktober 2022, yang menjadikan negeri Perlis sebagai tuan rumah majlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah memaklumkan bahawa kesemua komander yang datang dari seluruh negara akan memulakan program dengan menghadiri majlis sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang pernah menjadi Komander Rejimen 504 ketika memegang jawatan Tuanku Raja Muda Perlis suatu ketika dahulu dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid di Istana Arau pada Jumaat malam.

Titah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program berbasikal anjuran Me’nate Steak Hub, yakni bermula di Me’nate Steak Hub dan berakhir di pekarangan cawangan restoran berkenaan di The Curve Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Me’nate Steak Hub, Azuan Arif Tan Sri Mohd Ariffin. Turut mengambil bahagian ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Mengulas lebih lanjut, hari kedua berlangsungnya program, persidangan SKAW akan diadakan di Bilik Senat, Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Alam Pauh Putra dan diikuti pada sebelah petangnya lawatan silaturahim ke kem Tentera Darat DiRaja Thailand tidak jauh dari sempadan Malaysia-Thailand Padang Besar.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman.

Seterusnya, pada hari terakhir program, komander akan menyertai program istimewa berupa “Explorace” di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis bagi berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis mengucapkan penghargaan kepada Dato’ Zamri Mohamad dan Kasyaf Bina Sdn. Bhd. yang membiayai kos untuk jemputan persembahan kebudayaan pada jamuan makan pada Sabtu malam dan juga Robin Lim dari Superfruits Valley di Chuping, Perlis yang akan menyumbangkan jus buah ara, serta beberapa buah-buahan segar lain, seperti mulberi, buah ara, buah markisah dan gac hasil produk mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi