Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFrankfurt – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan sebanyak 20 rundingan hak cipta pada Pesta Buku Frankfurt 2022 yang sedang berlangsung mulai 17 Oktober hingga 23 Oktober 2022.
Pada Pesta Buku Frankfurt kali ini, delegasi DBP diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat, Ketua Bahagian Harta Intelek, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali dan Perancang Bahasa Bahagian Harta Intelek, Puan Nor Aida Mohd Salleh.

Menurut Tuan Haji Razali Che Mat, pandemik COVID-19 telah mengubah landskap penerbitan negara. DBP perlu mengorak langkah yang lebih proaktif bagi mendapatkan input-input baharu melalui perkongsian dengan penerbit antarabangsa di samping penerbit tempatan. Input ini boleh dijadikan panduan untuk mengharungi cabaran dunia penerbitan pada masa hadapan.
Pada hari pertama pesta buku berlangsung, DBP telah mengadakan rundingan hak cipta dengan tiga pihak penerbit dari Amerika Syarikat dan satu penerbit dari India termasuklah satu penerbit dari Malaysia yang turut berminat untuk mendapatkan lesen penerbitan dan pengedaran buku terbitan DBP ke pasaran Thailand dan Indonesia. Selain itu, DBP juga mengadakan perundingan dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dalam hal yang berkaitan dengan kerjasama penerbitan.

Tuan Haji Razali Che Mat turut mengambil kesempatan menerangkan tatacara permohonan dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) kepada syarikat penerbitan dari Malaysia.
Pada masa yang sama, DBP juga mengadakan rundingan dengan Sekolah Seni Malaysia untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka dalam menghasilkan ilustrasi yang boleh digunakan dalam penerbitan DBP.