Diterbitkan pada 20 Oktober 2022, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Wanita pada hari ini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang yang merangkumi pendidikan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Kita harus membetulkan tanggapan masyarakat pada hari ini yang meletakkan wanita sebagai pihak kedua dalam pembangunan.”

“Slogan ‘pemuda harapan negara, pemudi tiang negara’ harus menjadi peringatan kepada kita bahawa betapa besarnya peranan wanita dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terpelihara.”

Demikianlah titah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan perasmian majlis penutupan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Wanita dalam Pembangunan Negara secara dalam talian pada petang tadi.

Raja Puan Muda Perlis ketika berkenan menyempurnakan perasmian majlis penutupan Seminar YTF: Wanita dalam Pembangunan Negara siri kali ke-14 secara dalam talian.

Titah Raja Puan Muda Perlis merangkap Pengerusi YTF,

Wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang, malah merupakan sumber ekonomi yang penting. Sikap rajin bekerja dan tekun menjadikan golongan wanita sebagai sasaran utama perindustrian di Malaysia.

Melihat akan peri pentingnya perkara ini, YTF dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited mengadakan Forum Wanita dalam Pembangunan Negara yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP.

Forum ini menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datin Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah, serta dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa selaku moderator.

Dalam forum tersebut, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, Malaysia mempunyai Dasar Wanita Negara yang mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender.

Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia.

Menurut beliau, dasar ini adalah untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam usaha membangunkan modal insan yang berdaya saing dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi, serta menghayati murni.

Integriti seharusnya bermula dari rumah. Misalnya, sebagai ibu, kita perlu mengajar dan menunjukkan teladan yang terbaik kepada anak-anak untuk membantu menyelesaikan masalah di negara ini.

Kenyataan ini disokong oleh Profesor Datin Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah yang menjelaskan bahawa perancangan dan pengurusan masa merupakan satu wahana penting dalam mendidik diri dan warga negara yang berkualiti dan berdaya saing.

Profesor Datin Dr. Nurdianawati Irwani Abdullah, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tambah beliau,

Dengan berlandaskan niat murni untuk menyumbang kepada ummah dan negara, perkara inilah yang mendorong saya untuk mengajar, menulis dan menerbitkan buku bagi menyebarluaskan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Hal inilah yang mendorong kejayaan dalam hidup.”

“Wanita sebenarnya mempunyai kelebihan berbanding dengan lelaki, yakni golongan wanita lebih teliti, teratur, berfikiran kritis dan mematuhi peraturan.

Profesor Datin Dr. Nurdianawati turut berpandangan bahawa sekiranya wanita mampu mengoptimumkan peranan dan tugas dengan baik, maka tiada lagi halangan bagi mereka untuk memberikan sumbangan dan memenuhi kapasiti dalam pembangunan negara.

Terdahulu, dalam titah perasmian pembukaan, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan kaum wanita agar bangkit dengan wajah baharu bagi meraih hak, kedudukan dan peluang sosial yang setepatnya dalam pembangunan masyarakat dan negara.

 

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran bergambar bersama-sama Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari dan isteri, ahli panel dan moderator forum.

Turut hadir bersama-sama dalam forum ini ialah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15 dan isteri.

Penganjuran forum ini menjadi medan atau platform penting untuk membuka mata masyarakat agar menyokong pelibatan golongan wanita dalam memenuhi keperluan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi