Diterbitkan pada 20 Oktober 2022, 13:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menyempurnakan perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara.

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat bagi menyempurnakan perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara yang bertempat di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi ini. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Datuk Shafiq Abdullah; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad; Pengerusi Kumpulan UMW yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Pengerusi Primabumi Group, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji M. Ariffin Yusuf; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka, YB Datuk Muhammad Jailani Khamis; dan tetamu kehormat yang lain.

Dalam Majlis Perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa pelibatan wanita dalam pembangunan negara amat penting serta tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, sosial dan politik di Malaysia serta di seluruh dunia begitu dominan.

Menurut baginda, perubahan terhadap peranan ekonomi masa ini mempunyai kesan yang amat besar dan meluas terhadap kaum wanita yang terlibat dari segi peranan dan fungsi sosialnya. Hal ini disebabkan wanita kini semakin cekap dan berwibawa dalam memajukan ekonomi keluarga dan seterusnya menyumbang terhadap ekonomi masyarakat dan negara.

Titah baginda lagi:

Jumlah wanita yang bekerja dalam sektor profesional khususnya dalam perkhidmatan awam mahupun swasta semakin bertambah, seiring dengan taraf pendidikan serta komitmen tinggi demi memajukan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

Mengulas dengan lebih lanjut, baginda bertitah bahawa sistem pendidikan kini mengutamakan kesamarataan antara golongan wanita dengan lelaki. Hal ini sekali gus dapat melonjakkan daya persaingan yang positif demi kemajuan masyarakat dan negara.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan titah perasmian Seminar Yayasan Tuanku Fauziah.

“Saya menyarankan agar kaum wanita perlu bangkit dengan wajah baharu bagi meraih hak, kedudukan dan peluang sosial dalam pembangunan masyarakat dan negara. Perihal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini harus dipadankan dan diukur dari segi tahap kemampuan setiap golongan masyarakat, apatah lagi khusus kepada kaum wanita dalam semua peringkat umur,” titah baginda lagi.

Raja Muda Perlis yang juga merangkap Penasihat Yayasan Tuanku Fauziah menegaskan bahawa kaum wanita harus peka membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti berlandaskan perubahan minda dan gaya hidup masyarakat kini. Aliran semasa perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat turut memerlukan golongan wanita sentiasa peka dalam konteks pembangunan sosial demi kemajuan negara.

Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang ditubuhkan pada 19 April 2004 merupakan sebuah badan amal yang ditubuhkan bagi mengenal pasti, memberikan pengiktirafan dan mempromosikan wanita Malaysia yang berpotensi, cemerlang dalam akademik serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum.

Tambah baginda lagi, peranan kaum wanita dalam pembangunan negara yang berteraskan lapangan ilmu dan sosial perlu diteliti dengan lebih menyeluruh. Pada era kini, wanita bukan sekadar sebagai pendukung, pengikut dan penyokong terhadap setiap keputusan yang ditetapkan, namun wanita juga perlu diberikan tempat dan peluang yang lebih utama dalam membuat keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial. Baginda turut menyeru kepada semua golongan wanita untuk terus bersama-sama dalam menyumbangkan peranan dan tenaga demi pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran ketika berucap dalam Seminar Yayasan Tuanku Fauziah: Wanita dalam Pembangunan Negara.

Ketika menyampaikan sembah ucapan dalam Seminar Yayasan Tuanku Fauziah, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran turut berkata bahawa perbincangan mengenai wanita sentiasa segar dan terus dikupas demi melestarikan kedudukan wanita dalam pembangunan negara. Kedudukan wanita secara umumnya telah dibincangkan sejak abad ke-19 oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah. Kedudukan dan peranan wanita Melayu dikisahkan dalam naskhah agung tersebut selain dalam naskhah yang lain. Beliau turut percaya bahawa wanita akan terus maju bukan kerana kewanitaannya, tetapi kerana wanita juga sama hebat dan berprestasi cemerlang seperti lelaki.

Sebelum mengakhiri sembah ucapan tersebut, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kerana kesudian DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat hadir ke Seminat Yayasan Tuanku Fauziah pada pagi ini. Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kerana memperkenankan DBP menganjurkan Seminar Yayasan Tuanku Fauziah yang merupakan siri seminar ke-14. Beliau turut mendoakan agar Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi