Diterbitkan pada 11 Oktober 2022, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Sebanyak 240 peluang melanjutkan pelajaran serta pembelajaran dalam bidang latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan membabitkan tujuh kolaborasi ditawarkan pada “Karnival Peluang Kerjaya” yang diadakan pada 9 Oktober 2022 di Tapak Milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhadapan dengan “Kangar, Perlis 0 KM” di tengah-tengah bandar Kangar.

Karnival tersebut dianjurkan oleh Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd. dengan kerjasama pihak FMG Food Sdn. Bhd. (ASPUTRA Ikan Bakar dan Cuemi Sotong Goreng), TWI Technology (S.E. Asia) Sdn. Bhd., Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd. (KHTP Techno), Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, McDonald’s, Malaysia Professional Accountancy Centre (MYPAC),Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC), Kolej Vokasional Arau dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Raja Muda Perlis (dua dari kiri) melawat reruai yang disediakan.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan meluangkan masa melawat reruai dan pameran yang diadakan. Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Antara aktiviti yang diadakan ialah kaunseling kerjaya, sesi temu duga dan penerangan mengenai tajaan MAIPs. Permohonan peluang kerjaya ini masih dibuka sehingga semua kuota yang disediakan dihabiskan pada tahun 2022 ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai peluang bidang latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan yang ada, rakyat negeri Perlis disarankan untuk melayari Facebook Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd atau boleh menghubungi talian 012-5834439 untuk keterangan lanjut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi