Diterbitkan pada 7 September 2022, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Timbalan Komander baharu yang ke-23 menyembah mengadap Raja Muda Perlis bagi memperkenalkan diri, mengetahui visi dan hasrat, serta membincangkan hala tuju rejimen sebagai panduan perancangan rejimen pada masa akan datang.

Arau – Tanggal 7 September 2022, Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia menyambut Hari Ulang Tahun Ke-42.

Semoga rejimen berslogankan ‘Latih Untuk Perang’ yang merupakan benteng pertahanan kedua-dua negara ini terus gah dalam mempertahankan kedaulatan tanah air amnya dan bumi Perlis khasnya.

Demikianlah titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Komander rejimen, selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Timbalan Komander rejimen baharu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan dalam media, Timbalan Komander rejimen tersebut yang baharu, iaitu Leftenan Kolonel Lasahi Laiji telah mengambil alih tugas pada 4 Ogos 2022 di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau, Leftenan Kolonel Lasahi sebagai Timbalan Komander yang ke-23 menyembah mengadap Tuanku Komander secara rasminya bagi memperkenalkan diri, mengetahui visi dan hasrat Tuanku Komander, serta membincangkan hala tuju rejimen sebagai panduan perancangan rejimen pada baki tahun ini dan seterusnya.

Dalam perkembangan lain, pihak rejimen sedang memberikan fokus khusus untuk persiapan menjadi tuan rumah kepada Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) di Perlis bermula tarikh 14–16 Oktober 2022 kelak.

Tambah baginda, muda mudi rakyat negeri Perlis yang mempunyai sihat tubuh badan dan memenuhi segala keperluan minimum yang ditetapkan oleh Angkatan Tentera Malaysia adalah dijemput secara segera untuk tampil ke hadapan secara beramai-ramai bagi mendaftarkan diri untuk menjadi anggota sukarela Askar Wataniah di Kem Bukit Keteri, Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi