Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Chuping – Anakanda-anakanda Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program berjalan kali “Walk For Life Keluarga Malaysia” bermula dan berakhir di Perkarangan Dewan Besar Felda Chuping, semalam.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Belia Negeri sempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat negeri Perlis pada 27 dan 28 Ogos 2022 dan juga sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 pada 31 Ogos ini.
Aktiviti dimulakan dengan acara Senamrobik Perdana serta pelepasan program kayuhan berbasikal yang disempurnakan oleh Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Para peserta yang mengambil bahagian turut singgah menyaksikan pelbagai aktiviti belia yang dianjurkan pada hari yang sama sepanjang perjalanan termasuklah pertandingan tarik tali sebelum berakhir di lokasi Pertandingan Gubahan Tuala dan juga Pertandingan Khat di Dewan JKKR Felda Chuping.