Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menegaskan agar masyarakat kini lebih cakna dengan isu yang menyentuh peranan wanita dalam membentuk negara yang maju.
“Sumbangan wanita dalam pelbagai bidang haruslah diberi perhatian dan galakan supaya mereka terus menjadi pemangkin kepada pembangunan negara yang sejahtera, harmoni dan berdaulat,” titah baginda dalam perasmian Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri Ke-12’ bertajuk Women as Frontiers of Society, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama YTF pada tengah hari tadi.
Dalam majlis perasmian tersebut, DYTM Raja Puan Muda Perlis menitahkan bahawa kecemerlangan wanita bukan hanya terbatas dengan aktiviti domestik, tetapi melangkaui batasan disiplin akademik sehingga berupaya melahirkan golongan wanita profesional yang menjadi pemimpin, penyelidik, usahawan, pembuat dasar serta individu berketerampilan unggul.
Baginda berharap agar wanita di Malaysia terus dikurniakan keazaman yang jitu untuk melaksanakan peranan sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf dan kualiti hidup masyarakat menerusi penglibatan dan sumbangan dalam pelbagai bidang dan ruang kehidupan. Bak kata pepatah, “tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia”.
“Wanita adalah tonggak kepada kemandirian pembangunan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.”
Webinar tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman dengan tajuk “Peranan Wanita dalam Masyarakat”. Seterusnya disusuli dengan forum “Wanita Perkasa Era Digital” yang dikongsikan oleh senarai ahli panel hebat terdiri daripada Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, FASC, Profesor Emerita Dato’ Dr. Rashidah Shuib dan Puan Ong Bee Leng, FASC.
Menariknya, pada akhir majlis, persembahan Gamelan oleh Dewan Budaya, USM dan tayangan Kompilasi Pencapaian dan Sumbangan Penyelidik Wanita di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, selain tayangan video khas “Woman as Frontiers of Society”.