Diterbitkan pada 25 Ogos 2022, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – “Komitmen, kesabaran dan kecekalan individu bernama wanita sebagai seorang isteri, ibu, anak, kesemuanya melengkapi dirinya sebagai seorang wanita yang berjiwa besar, yakni memberikan inspirasi kepada semua.”

“Tiada siapa yang dapat menyangkal betapa pentingnya peranan golongan wanita dalam mengait dan menyulam kisah kejayaan sesebuah keluarga, masyarakat mahupun negara.”

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan negara begitu besar dan tidak ternilai harganya.

Demikianlah titah baginda ketika berkenan menyempurnakan perasmian Pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence Siri Ke-12 bertajuk Women as Frontiers of Society, anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama YTF pada pagi tadi.

Sepanjang tempoh webinar itu berlangsung, baginda menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kaum wanita yang dilihat semakin hari semakin ramai bilangannya yang mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

“Wanita pada hari ini sememangnya memainkan peranan besar dan telah banyak menyumbang terhadap pembangunan negara. Wanita merupakan satu daripada tonggak pembangunan negara yang paling penting bukan sahaja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara,” titah baginda.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Penasihat Di Raja Yayasan Tuanku Fauziah percaya bahawa pelibatan wanita dalam organisasi pentadbiran dalam pelbagai peringkat dapat membawa perubahan yang besar terhadap dasar dan undang-undang, dan sekali gus menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

Terdahulu, Pengerusi Webinar, Profesor Madya Dr. Saidatulakmal Mohd. dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan menyampaikan ucapan alu-aluan.

Ucaptama bertajuk “Peranan Wanita dalam Masyarakat” disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman yang disusuli dengan forum bertopik “Wanita Perkasa Era Digital” dikongsi oleh senarai panel hebat terdiri daripada Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, FASC, Profesor Emerita Dato’ Dr. Rashidah Shuib dan Puan Ong Bee Leng, FASC.

Webinar tersebut ditutup oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pengerusi YTF pada sebelah tengah harinya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi