Diterbitkan pada 23 Ogos 2022, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Bengkel Penulisan Popular pada hari ini, bertempat di UMK Bachok. Dua orang pegawai DBP dari Kuala Lumpur diundang sebagai penceramah bagi mengendalikan bengkel tersebut. Sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan serta Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan hadir sepanjang kedua-dua sesi yang dijalankan tersebut.

Bengkel ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ahli akademik UMK mengenai peluang dan ruang yang disediakan oleh pihak DBP bagi penerbitan penulisan popular dalam 11 majalah terbitannya dan portal digital JendelaDBP serta penerbitan buku.

Pengisian bengkel ini dimulai dengan sesi pertama yang dikendalikan oleh Encik Abd. Kadir Mohd. Ayub, Editor majalah Dewan Masyarakat. Beliau memperkenalkan 11 majalah mengikut bidang yang diterbitkan oleh DBP secara bulanan dan portal digital DBP, iaitu JendelaDBP. Selain itu, perincian kandungan setiap majalah beserta ruangan-ruangan yang bersesuaian dengan kepakaran peserta yang hadir turut dikongsikan oleh beliau dengan mendalam. Pengalaman beliau yang luas dalam konteks perolehan dan penerbitan bahan penulisan popular dalam majalah DBP telah memberikan pencerahan yang amat baik kepada para peserta.

Sesi kedua pula dikendalikan oleh Puan Tengku Fauziah Ku Mat, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa DBP. Beliau berkongsi pengalaman selama 25 tahun berkhidmat di DBP khususnya mengenai proses perolehan dan penerbitan buku pelbagai jenis seperti buku ilmiah dan buku umum. Yang menariknya, beliau juga memperincikan tips dan rahsia penghasilan manuskrip yang berkualiti untuk diterbitkan oleh DBP. Penyampaian beliau begitu bersahaja, namun amat berkesan dalam usaha meningkatkan motivasi para peserta bagi menyediakan draf manuskrip buku untuk dihantar kepada pihak DBP bagi tujuan penilaian.

UMK dengan kerjasama DBP turut berhasrat untuk memperkasakan penghasilan dan perolehan penulisan makalah popular dan penerbitan buku yang berkualiti serta layak diterbitkan oleh DBP sesuai dengan kepakaran bidang ahli akademik di UMK. Inisiatif ini juga bermatlamat untuk menyebarluaskan idea dan pemikiran ahli akademik supaya boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, sekaligus dapat memberikan impak dalam pengukuhan Keluarga Malaysia yang harmoni dan sejahtera.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi