Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Serdang – Buku merupakan suatu legasi yang ampuh bagi tatapan setiap generasi, bukan sahaja pada peringkat akademik, bahkan dalam proses pembangunan sosioekonomi negara.
Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) menganjurkan Ekspo Buku Malaysia 2022, Persidangan Buku Antarabangsa 2022 dan Anugerah Buku Negara 2022, yang berlangsung selama empat hari bermula pada hari ini hingga 25 Ogos 2022 dengan mengangkat slogan “Keluarga Malaysia, Membaca Sepanjang Hayat”.
Menurut YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN:

Ekspo ini merupakan inisiatif bagi memupuk budaya cendekia dan buku, serta untuk memperkasa usaha YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN.
Ekspo ini sangat bermanfaat untuk menghasilkan resolusi bagi memajukan penerbitan buku ilmu dan peri pentingnya buku ilmu diterbitkan dalam bahasa Melayu, selain dijadikan sebagai rujukan lanjut.

“Melalui tamadun berilmu, budaya membaca dan mempunyai sumber kekuatan jati diri, pastinya penulis dapat memberikan satu penghubung dan semangat kepada masyarakat untuk memupuk minat membaca,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN yang berhasrat agar lebih banyak karya yang dihasilkan oleh industri penerbitan dan penulisan tempatan.
Mengulas lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa hal ini secara tidak langsung dapat menyahut sasaran badan dunia UNESCO Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Budaya Bangsa-Bangsa Bersatu dalam mencapai wawasan 32 ribu buah buku penerbitan tempatan setiap tahun.
“Program berbentuk majlis penganugerahan seperti ini sudah pasti dapat mendorong minat pelajar, pendidik, penulis, pengkaji, penerbit serta golongan pakar dan profesional untuk menyumbang, dan seterusnya menerbitkan karya yang bermutu tinggi bagi memartabatkan industri penerbitan dan penulisan tempatan.

Sementara itu, YH Profesor Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM berkata, sebagai tuan rumah bagi program ini, beliau yakin program ini mampu menjadi suatu suntikan kepada warga institusi pendidikan, khususnya UPM untuk menterjemah fungsi institut sebagai menara ilmu.
“Pembudayaan ilmu yang disajikan menerusi penerbitan yang berimpak bukan sekadar pada nilaian indeks semata-mata, tetapi yang jauh lebih penting ialah kemenjadian dan keluasan manfaatnya kepada masyarakat,” jelas beliau ketika berucap di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, hari ini.
Menurut beliau, kewujudan pusat penerbit di universiti merupakan satu daripada usaha signifikan dalam mengangkat penghasilan dan penerbitan buku yang berkualiti.
“Amat rugi sekiranya pelapis negara tidak menyedari akan keistimewaan buku sebagai satu medium ilmu yang penting. Saya menyeru kepada semua penggiat industri buku tempatan supaya berganding bahu, berteguh janji untuk menaikkan semula semangat mencintai buku sebagai satu wadah mencipta ketamadunan dan peradaban.”
“Bukan sahaja buku fizikal, boleh juga buku dalam bentuk elektronik seperti e-buku; kerana ilmu tidak mungkin hilang di dunia, tetapi medium penyampaian ilmu itu sendiri mungkin berubah mengikut zaman.”
“Pengadaptasian terhadap media baharu yang telah menguasai dunia hari ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya tanpa menghilangkan nilai ketamadunan dan peradaban ilmu,” ujar Naib Canselor UPM yang yakin bahawa sosok warga negara yang berilmu dan berpengetahuan merupakan cerminan sesebuah negara yang maju.