Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Shah Alam – Enam tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang disuarakan oleh gerakan #RasuahBusters pada 11 September lalu, terus hangat dibincangkan bagi menuntut keadilan dalam mendesak undang-undang memerangi rasuah dan mengukuhkan integriti.
Antara tuntutan yang dikemukakan oleh #RasuahBusters bersama-sama lebih daripada 500 wakil gabungan Bersih 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Center to Combat Corruption and Cronysm, Transparency International Malaysia (TI-M), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Undi18, ialah pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), Akta Dana Politik, Kebebasan Institusi, Akta Anti Lompat Parti, Undi18 dan reformasi parlimen.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, langkah awal mengembalikan negara ke landasan adalah dengan mentranformasikan struktur institusi dan perundangan sebagai agenda utama dalam fasa pemulihan negara.

Usaha membasmi rasuah harus diperkukuh kerana hal ini merupakan benteng terbaik dalam membangunkan negara dan menyejahterakan rakyat.
“Apabila tiada ketirisan dan rasuah berlaku pada mana-mana sektor, rakyat akan merasai kesemua peruntukan yang disediakan oleh kerajaan dengan penuh syukur,” kata Nurhayati Nordin dalam sidang media Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpa Rasuah: “Apa Dah Jadi?” di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, pagi ini.

Menurut Ketua Pasukan Rasuah Busters merangkap Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, sudah hampir setahun tuntutan itu telah dikemukakan, namun segelintir daripada pihak kerajaan dan 220 ahli parlimen tidak menampakkan keseriusan dalam meminda undang-undang berkenaan.
Untuk mengubah negara ini, kita perlu ada undang-undang dan pemimpin yang lebih baik. Pemimpin yang lebih baik tentunya orang yang mempunyai nilai integriti yang tinggi, malah ideanya lebih baik agar keluar daripada kemelut ini.
Mengulas lanjut, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel mengatakan bahawa isu kenaikan harga barang, kemusnahan alam sekitar, ketirisan maklumat, rasuah, salah guna kuasa dilihat kian berleluasa, bahkan memberikan impak ketara kepada ekonomi dan keselamatan negara. Kebebasan dan ketelusan institusi awam perlu diberikan keutamaan agar tidak dipengaruhi oleh tekanan politik.

Bagi menjamin keadilan dan meningkatkan kewibawaan, institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya harus diasingkan dan dibebaskan supaya tidak dipengaruhi oleh mana-mana badan eksekutif mahupun tekanan politik,” ujar Cynthia Gabriel.
Jelasnya, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada langkah utama untuk meletakkan institusi tersebut sebagai penentu tadbir urus yang baik di samping menyekat penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran negara.

Sementara itu, Pengasas Undi18, Tharma Pillai berkata, Akta Anti Lompat Parti adalah sangat penting untuk menghentikan ketidakstabilan politik, khususnya dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya.
Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi GBM, Dr. Badlishah Sham Baharin menggesa semua pihak agar bertanggungjawab, terutamanya ahli parlimen untuk bertindak sewajarnya dalam menggembleng usaha terhadap pindaan Akta Pembiayaan Dana Politik, selain mendapat sokongan daripada rakyat.

Akta Pembiayaan Dana Politik bukanlah untuk menyekat ahli politik untuk mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti politik mereka. Sebenarnya, hal ini menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban atas wang yang diperoleh daripada penipuan, salah guna wang dan kuasa, serta mengelakkan rasuah,” tegas Dr. Badlishah Sham dalam menangkis politik rasuah yang menjadi penderitaan kepada rakyat.
Dalam hal ini, gerakan #RasuahBusters memandang berat isu ini dan menegaskan bahawa pemulihan negara harus bertunjangkan integriti, prinsip ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang melalui kestabilan politik sebagai batu asasnya.
Maka demikian, #RasuahBusters bersama-sama wakil gabungannya mendesak agar enam tuntutan tersebut diletakkan sebagai agenda utama pembentangan di Parlimen dan rakyat diharap memberi sokongan penuh agar pemulihan negara dapat berjalan secara bersepadu dan holistik.
Antara panel yang turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann dan Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan.