Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk singgah di Program Warna-warni Bahasa di Kampung Tandiap pada 5 Julai 2022 yang menjadi satu daripada tempat hentian dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli. Dalam persinggahan tersebut, baginda berkenan untuk mengecat perkataan “BAHASA” pada tepi tangga rumah yang dimiliki oleh salah seorang penduduk di Kampung Tandiap sebagai simbolik bagi program ini.

Turut sama mengecat perkataan pada tepi tangga rumah ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan yang mengecat perkataan “JIWA”, diikuti oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang mengecat perkataan “BANGSA” untuk melengkapkan frasa “BAHASA JIWA BANGSA” yang menjadi moto DBP.


Seterusnya, baginda juga berkenan untuk meluangkan masa bergambar dengan sukarelawan yang terlibat dalam program ini. Sukarelawan ini melibatkan pihak penganjur sendiri yang terdiri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perlis, Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara, dan EST Infinity Enterprise.

Dalam kunjungan ini, baginda turut berkenan untuk mengurniakan sumbangan berbentuk barang keperluan kepada salah seorang asnaf yang turut dicat rumahnya dalam program ini. Keprihatinan baginda terhadap kesusahan asnaf ini sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada kita semua supaya sentiasa cakna akan masyarakat yang kurang bernasib baik dari segi ekonominya.

Selesai sahaja mengurniakan sumbangan kepada asnaf, Raja Muda Perlis meneruskan kayuhan untuk singgah ke Program Santai Bahasa yang diadakan tiga tempat, iaitu Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).



Bagi Program Warna-warni Bahasa itu sendiri, program ini sebenarnya telah bermula pada 4 Julai 2022. Program ini merupakan program gotong-royong mengecat rumah yang melibatkan lima buah rumah penduduk Kampung Tandiap. Program ini selaras dengan hasrat DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang ingin menjadikan kampung ini berwarna-warni.

Menurut Mohd Khairul Nizam, Presiden MFWDA, program ini diharap dapat mendidik penduduk kampung supaya cintakan keindahan dan kebersihan. Menerusi program selama dua hari ini, Mohd Khairul Nizam gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh sukarelawan, terutamanya daripada penduduk kampung. Selain program mengecat rumah ini, pihak penganjur juga telah memacak tujuh papan tanda yang memaparkan petikan puisi tokoh, mutiara kata sasterawan negara dan pantun yang boleh diambil pelajaran untuk semua pihak. Tujuh papan tanda ini ialah simbolik bagi tujuh buah kampung yang terdapat di kampung Seberang Ramai, iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya, Kampung Baru Seberang, Pulau Ketam dan Kampung Tandiap.
Presiden MFWDA ini menceritakan beberapa impak besar hasil daripada program kesukarelawanan di kampung ini. Antaranya termasuklah pertambahan kedatangan pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara. Jika dahulu orang luar tidak tertarik untuk masuk ke kampung ini, kini tidak lagi apabila banyak golongan muda yang menjadikan kampung ini sebagai kandungan bahan video untuk penerbitan di YouTube dan TikTok.

Bagi Encik Shahrizan Mansor yang merupakan Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Serantau MAIPs, program warna-warni kampung ini dicetuskan oleh Raja Muda Perlis menerusi pengalaman baginda ketika berada di luar negara. Apabila pulang ke Malaysia, baginda berharap agar dapat membawa perubahan yang lebih baik di Malaysia, terutamanya untuk golongan belia di negeri Perlis.
Encik Shahrizan Mansor mengimbau keadaan Kampung Seberang Ramai sebelum ini yang tidak seperti sekarang ini. Dahulu, sampah bukan sahaja banyak, tetapi bersepah di kampung. Kini, tahap kesedaran penjagaan kebersihan dalam kalangan penduduk kampung semakin meningkat dan menyebabkan kampung makin bersih dan indah. Malah, ada penduduk yang teruja dengan keindahan kampung ini yang sanggup mengeluarkan biaya sendiri untuk terus menghias kampung. Menurut beliau lagi, program seumpana ini bukanlah program berkala, tetapi suatu yang bersifat berterusan.

Ketua Kampung Tandiap, Encik Baharin Che Ros pula menceritakan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk kampung sebelum program ini mula diadakan tiga tahun yang lalu. Pada waktu itu, tahap kebersihan kampung sukar dijaga kerana tong sampah hanya diletakkan di bahagian tepi jalan luar kampung yang lokasinya agak jauh. Namun begitu, atas inisiatif Raja Muda Perlis menerusi MAIPs, kini telah ada petugas yang akan masuk ke dalam kampung untuk mengutip sampah pada setiap pagi. Dengan idea Raja Muda Perlis yang ingin menjadikan Kampung Seberang Ramai ini berwarna-warni ini jugalah yang menyebabkan penduduk makin seronok dan bahagia berada di kampung masing-masing.
Encik Baharin Che Ros menganggarkan bahawa terdapat lebih kurang separuh lagi rumah di kampung tersebut yang belum dicat menerusi program yang diadakan ini. Hal ini menyebabkan mereka ternanti-nanti program yang seterusnya. Dari segi pemilihan warna cat, Encik Baharin Che Ros menyatakan bahawa terdapat warna cat asas yang dibekalkan untuk program ini, iaitu kuning, biru, merah dan jingga. Jika penduduk inginkan tambahan warna lain, mereka akan membelinya sendiri. Menurut beliau, ada juga rumah yang bukan sekadar dicat secara biasa, tetapi dicat dalam bentuk mural. Akhir kata, ketua kampung ini meluahkan kegembiraan dan kepuasan hatinya apatah lagi orang kampung selalu memuji Raja Muda Perlis yang menjadikan kampung mereka berwarna-warni, selain terharu dan seronok dengan keindahan kampung serta kehadiran pelancong ke kampung mereka.
