Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur- Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merujuk laporan media berkaitan dengan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
LP memaklumkan bahawa jumlah calon berdaftar bagi peperiksaan SPM 2021 adalah sebanyak 407 097 orang seperti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021. Bagi tujuan analisis keputusan peperiksaan SPM 2021, sebanyak 392 837 orang calon berdaftar sahaja yang diambil kira. Calon ini terdiri daripada mereka yang telah mendaftar buat kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 382 156 orang atau 97.28 peratus calon sekolah dan calon persendirian telah hadir bagi menduduki peperiksaan. Jumlah calon yang tidak hadir pula adalah sebanyak 9037 orang atau 2.30 peratus, iaitu calon sekolah KPM, calon sekolah agensi kerajaan, calon sekolah menengah agama negeri, calon sekolah swasta serta calon sekolah menengah agama rakyat.
Sebanyak 1644 orang atau 0.42 peratus merupakan calon persendirian. LP berharap agar penjelasan ini dapat memberikan gambaran sebenar berkenaan dengan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan dalam SPM 2021.