Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 terus dimeriahkan dengan aktiviti bersama-sama kanak-kanak di Reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hari ini, Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) telah mengadakan aktiviti bercerita dan melukis bersama-sama Encik Nor Azhar Ishak atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Nai, yang juga penulis bagi buku yang bertajuk Indahnya Pulau Sipadan.
Aktiviti yang melibatkan pencerita yang juga seorang pelukis ini dilaksanakan dalam suasana santai dengan kehadiran kanak-kanak dari Tabika Perpaduan Pangsapuri Fasa 3 Bandar Baru Sentul A, Tabika Perpaduan Pangsapuri Fasa 3 Bandar Baru Sentul B dan pengunjung PBAKL 2022. Dalam aktiviti ini, mereka diberikan kesempatan untuk mengasah bakat menyampaikan cerita Indahnya Pulau Sipadan di hadapan khalayak.
Selesai aktiviti bercerita, para peserta diberikan peluang untuk mengasah bakat melukis contoh watak hidupan laut yang diberikan oleh Cikgu Nai. Dengan menggunakan peralatan yang disediakan oleh Cikgu Nai, kanak-kanak tampak gembira menghasilkan karya lukisan masing-masing di bawah bimbingan beliau.

Selain itu, slot pertandingan mewarna turut diadakan pada sesi akhir aktiviti. Sebanyak 29 orang kanak-kanak yang menyertai pertandingan tersebut telah membawa pulang hadiah berupa buku bergambar terbitan DBP dan hadiah istimewa daripada Cikgu Nai yang disampaikan oleh beliau, diiringi Ketua Editor BKR, Puan Mariati Josepha Mustafa.