Diterbitkan pada 1 Jun 2022, 11:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan pada kali ini telah disempurnakan oleh Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar baru-baru ini.

Acara tahunan pada kali ini menampilkan Pasukan Ragbi Kebangsaan “Bunga Raya” sebagai johan bagi Kategori Terbuka, sekali gus melayakkan pasukan ini menyertai Sukan Komanwel di Birmingham England.

Dalam perlawanan akhir tersebut, pasukan Bunga Raya berjaya menumpaskan juara bertahan, iaitu Jitra Old Boys (JOB) dengan keputusan 19-0 dan mengekalkan rekod tanpa bolos sepanjang dua hari pertandingan itu berlangsung. Mereka seterusnya meraih hadiah wang tunai bernilai RM5000, piala pusingan, piala iringan dan juga pingat kemenangan.

Bersempena juga meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pertandingan tahunan ini disertai oleh 25 pasukan.

“Pertandingan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai platform untuk mempersiapkan skuad bawah 23 tahun negeri masing-masing bagi mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Kuala Lumpur pada bulan September yang akan datang nanti,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis penutupan dan seterusnya menyampaikan hadiah kejohanan berprestij tersebut.

Turut berangkat baginda ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Mengulas lebih lanjut, keputusan perlawanan akhir bagi kategori lain adalah Lelaki Bawah 23 Tahun, yakni Kedah menumbangkan SJ20 dari Johor 14-0 dan Wanita Bawah 23 Tahun pula Sarawak menang ke atas Kedah mengambil kira “Try” yang dibuat lebih dahulu semasa perlawanan dilangsungkan setelah terikat 12-12.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi