Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar tema hari guru, “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” mestilah dihayati sepenuhnya oleh semua warga pendidik supaya aspirasi pendidikan negara dapat direalisasikan kepada seluruh rakyat.
Warga pendidik perlu memperkukuhkan ilmu dan kemahiran insaniah yang tinggi dalam diri agar mampu menjalankan amanah dan bertanggungjawab terhadap profesion mulia ini,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2022 pagi tadi.
Baginda turut berharap agar para guru mampu mengangkat pendidikan ke peringkat yang tertinggi dan berkualiti, seiring dengan pelbagai transformasi dan inovasi semasa, serta selaras dengan tahap pengetahuan murid yang semakin meningkat dan meluas.
Tambah baginda,
Guru perlu mempunyai anjakan paradigma untuk menerima senario baharu dan menyediakan generasi baharu bagi menghadapi cabaran pendidikan pada peringkat global dan seterusnya berkeupayaan menjadi generasi yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding murid-murid negara lain.
“Guru jugalah yang menjadi pemangkin dalam membentuk akhlak dan jiwa anak-anak dengan nilai-nilai yang akan memakmurkan dan menyejahterakan kehidupan dunia dan akhirat nanti.
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis mengakui bahawa tugas guru menjadi semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan kekuatan dalam aspek fizikal, jiwa, dan mental.

Pada tahun ini, Datin Noridah Yangman dinobatkan sebagai Tokoh Guru, manakala Adzhar Shafie pula diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.
Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2022 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Negeri Perlis ini diadakan di Dewan Warisan Kangar.
Turut mengiringi baginda dalam majlis berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.