Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya – Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka Kementerian Pendidikan Malaysia 2022 di Pekarangan Kompleks Pentadbiran E, KPM, Putrajaya.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Md Jidin, pendekatan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada masyarakat bagi memperlihatkan kebolehpasaran bakat dan produk yang dihasilkan oleh para pelajar menerusi pelbagai program dan aktiviti yang ditawarkan di bawah KPM.
Dalam konteks bulan Syawal ini, kami mengambil pendekatan dan konsep yang sedikit berbeza daripada sebelum ini, mengadakan Hari Rumah Terbuka Aidilfitri kepada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri bersama-sama Keluarga Malaysia.
“Majlis ini bertujuan untuk memberikan ruang seluas-luasnya kepada masyarakat untuk bersama-sama KPM untuk melihat program dan aktiviti yang ditawarkan oleh KPM dan juga untuk masyarakat bersama-sama sekiranya ada perkara yang ingin disampaikan kepada pemimpin pendidikan di Malaysia,” kata Menteri Kanan Pendidikan ketika membuat tinjauan lawatan ke Pameran Kejayaan Pasukan KPM pada pagi tadi.


Selain itu, YB Datuk Dr. Radzi turut memberikan sokongan dan galakan kepada pelajar, khususnya pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha meningkatkan pengetahuan pelajar dan masyarakat yang mendorong untuk menjadi usahawan serta pekerja mahir dalam industri berkaitan menjelang tahun 2025.
Tambah beliau, TVET perlu dijadikan sebagai antara pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.


Majlis ini bertambah meriah dengan kedatangan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama tetamu kehormat, antaranya ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Menteri Pendidikan I, YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.
Mengulas lebih lanjut, YB Datuk Dr. Radzi berkata, lebih daripada 25 000 tetamu yang hadir dalam majlis itu terdiri daripada pelbagai institut pendidikan, sekolah, agensi dan jabatan kerajaan, serta Keluarga Malaysia yang lain.
KPM menyediakan pengisian menarik dalam majlis tersebut seperti pameran, aktiviti, jualan dan persembahan seperti Regeneron International Science and Engineering Fair 2022, Pameran Sekolah Seni Malaysia dan Sekolah Sukan Malaysia, Mini Zoo Peliharaan, Jumpling Castle dan persembahan tarian dan nyanyian daripada pelajar sekolah.


