Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian pembukaan “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence (W.I.S.E.) Siri ke-9”, anjuran kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan YTF pada pagi tadi secara maya.
Menurut DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, pelibatan golongan wanita dalam bidang pertanian perlu dipergiat dan disokong dengan pendekatan yang bersifat “memudah cara” dan “meringankan”. Mereka yang berjaya disarankan untuk membantu rakan-rakan yang lain yang baru atau sedang berkecimpung dalam bidang tersebut supaya lebih berdaya maju.
Titah baginda dalam perasmian majlis tersebut, “Sesungguhnya bidang pertanian sering dikaitkan dengan pekerjaan yang mencabar dan sukar diadaptasi oleh golongan wanita. Namun begitu, situasi ini tidak wajar untuk dijadikan sebagai batu penghalang bagi golongan wanita untuk menceburi bidang pertanian ini.”
Baginda menzahirkan kepercayaan bahawa golongan wanita dapat memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha membantu memastikan kestabilan sosioekonomi negara menerusi spektrum agromakanan.
“Kita perlu melihat kepada perspektif yang lebih meluas, golongan wanita boleh terlibat dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti aspek pengurusan, penggunaan teknologi pertanian dan industri hiliran. Maka demikian, golongan wanita tidak akan tercicir dalam anjakan sosioekonomi negara yang bertepatan,” titah baginda dalam memastikan pelibatan golongan wanita terhadap jaminan sekuriti makanan negara, seiring dengan tema webinar bertajuk “Agropreneur Wanita: Saksama bersama Menjamin Sekuriti Makanan Negara” yang terarah kepada aspek keterangkuman.
Dalam mengakhiri ucapan perasmian, baginda mengucapkan sekalung penghargaan ke atas MAFI atas penganjuran webinar tersebut serta ahli panel yang turut berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan mengenai tema yang menarik untuk dikupas.
Program ini turut menyampaikan ucaptama daripada Ketua Setiausaha MAFI, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid serta Sesi Plenari dikongsikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), YBhg. Dato’ Azulita Salim dengan topik “Pengurusan Kepimpinan dalam Bidang Agromakanan” dan kemudiannya Sesi Forum 1 oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), YBrs. Dr. Akma Ngah Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Puan Rosilawati Hassan, serta Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Puan Linda Buang dengan topik “Program Pembangunan Wiratani Wanita dalam Bidang Agromakanan”.
Webinar YTF siri ke-9 ini ditambah seri dengan majlis perasmian penutupan oleh Raja Puan Muda Perlis, DTYM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merangkap Tuanku Pengerusi YTF.