Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Majlis Penutupan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 dengan tema “Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa” yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 22 hingga 24 Mei 2022 di Wisma DBP telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali sekali gus berjaya merealisasikan hasrat YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.
Sebanyak tiga ucap utama dan 15 sidang pembentangan kertas kerja yang melibatkan 67 tokoh akademik, sarjana, cendekiawan dan sasterawan dari pelbagai negara ASEAN telah dilaksanakan dalam simposium ini.

YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 berkata dalam ucapan alu-aluannya, simposium ini menjadi wadah ilmu bagi ahli akademik dan tokoh tersohor mewacanakan kepentingan pengantarabangsaan bahasa Melayu serta membincangkan usaha-usaha pemartabatan bahasa Melayu di negara ini dan seantero dunia.
Gimik Penyerahan Resolusi Simposium telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Menurut YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali ketika berucap semasa merasmikan majlis penutupan, bahasa Melayu mempunyai peranan yang begitu signifikan kepada pembinaan bangsa Malaysia, ketamadunan dan peradaban kita.
Kita harus berterima kasih kepada pejuang bahasa dan bangsa Melayu, khususnya sewaktu negara di ambang merdeka. Hal ini demikian kerana dengan hasil perjuangan, titik peluh dan keringat merekalah, akhirnya bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan termaktub dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh hal yang demikian, gerakan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam kalangan agensi dan penjawat awam perlu diberikan keutamaan tertinggi. Tambah beliau, pihak kerajaan akan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa bagi menegaskan komitmen dalam memastikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam sentiasa berada pada tahap terbaik, sekali gus akan melipatgandakan usaha untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai suri teladan pengguna bahasa kebangsaan yang baik dan betul kepada sektor lain.
“Hal ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan penjawat awam, sebaliknya untuk memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya dengan sewenang-wenangnya,” kata beliau.
Selain itu, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali turut mencadangkan agar institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan berautoriti mengambil inisiatif untuk melaksanakan semula Kursi Pengajian Melayu di universiti dan IPT di benua terpilih, menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu di institusi tertentu yang memerlukan khidmat demikian di serata dunia, dan meluaskan fungsi pejabat kedutaan Malaysia di seluruh dunia untuk memartabatkan lagi bahasa Melayu.
Mengakhiri ucapan perasmian, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan peserta yang terlibat dalam penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022.
Majlis perasmian penutupan bertambah seri dengan persembahan silat daripada Persatuan Silat Seni Cekak Ustaz Hanafi Malaysia dan persembahan deklamasi puisi daripada YBhg. Dato’ Rahman Shaari, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2007.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan merangkap Pengerusi Bersama Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.