Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Sejarah lampau membuktikan kemakmuran rantau ini bukan sahaja pada geografi dan bentuk muka bumi, tetapi dapat dirasakan keluhuran masyarakat rantau ini atau disebut sebagai Alam Melayu, penuh dengan budi pekerti dan selalu meraikan tetamu yang hadir berurusan dengan mereka.”

“Rakyat dan kerajaan mestilah berjuang bersama-sama mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi bahasa agar tamadun kita tidak kehilangan mutu dan keindahan sosialnya.”
Demikian menurut YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk “Bahasa Melayu Pelestarian Kearifan Setempat” pada Sidang 14, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Dalam konteks bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan, beliau berpendapat bahawa industri kreatif merupakan antara cabang yang harus dipergiat dan diseiringkan dalam usaha mendiasporakan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.
Tambah beliau, kepentingan kursi pengajian Bahasa Melayu juga perlu dipergiat semula dengan penawaran program Bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa, khususnya di China, Eropah dan Australia.

Sementara itu, YBhg. Profesor Sarjit Singh Darshan Singh dari Universiti Putra Malaysia mengutarakan pandangan bahawa bahasa Melayu hakikatnya sudah melalui proses pelestarian kearifan setempat sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, perpaduan dan perniagaan. Namun begitu, kedudukan bahasa Melayu di Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi semakin tercabar dengan pengaruh globalisasi yang lazimnya memberikan keutamaan kepada bahasa Inggeris.
“Ketidakupayaan untuk mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sebenarnya telah merencatkan usaha untuk menarik minat golongan belia menguasai bahasa Melayu dengan baik sama ada dalam bentuk lisan dan tulisan,” ujar YBhg. Profesor Sarjit Singh Darshan Singh melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Pelestarian Kearifan Setempat: Peranan dan Cabaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu”.
Penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris di universiti dikatakan menyekat minat mahasiswa untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu, terutamanya apabila masing-masing lebih menumpukan soal penarafan universiti dan pengantarabangsaan universiti.
Menurut beliau, kedudukan bahasa Melayu akan lebih terbela sekiranya semua pihak bersatu padu untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pembangunan demi pembinaan tamadun Malaysia. Maka itu, beliau menegaskan usaha ini perlu bermula dari peringkat sekolah dan universiti, di samping menghayati kembali aspirasi “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Selaku pembentang ketiga, YBhg. Profesor Dr. Shamsudin L. Taya dari Akademi Pembangunan Bangsamoro, Filipina mengatakan bahawa penggunaan bahasa secara bersama, iaitu bahasa Melayu dalam Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) mempunyai dua kali ganda kelebihan untuk meningkatkan nasionalisme sesuatu negara.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam BARMM secara semula jadi akan membuka jalan kepada ikatan semula bangsa Melayu dari Filipina, terutamanya bangsa Bangsamoro ke Alam Melayu.
“Menjadikan bahasa Melayu sebagai rasmi bahasa kerajaan wilayah yang baharu mampu meredakan sensitiviti sesetengah suku kaum dan seterusnya membawa kerjasama, perpaduan, persefahaman dalam kalangan Bangsamoro,” kongsi YBhg. Profesor Dr. Shamsudin ketika membentangkan kertas kerjanya secara maya.

Dalam pembentangan akhir yang bertajuk “Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Australia: Kesempatan dalam Kesusahan”, YBrs. Profesor Madya Dr. Rebecca Fanany dari Universiti Melbourne, Australia berhujah dengan menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu juga mampu memberikan peluang pekerjaan atau melanjutkan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi setanding dengan bahasa lain.
Mengulas lebih lanjut, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu melalui sidang 14 tersebut memperlihatkan kesungguhan Keluarga Malaysia bersama-sama memperkukuh agenda kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, seiring dengan hasrat Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk melonjakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.