Diterbitkan pada 14 April 2022, 13:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan tren khas yang dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia pada 29 April ini.

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan dengan KTMB yang membawa slogan “Maghi Kelik Kampung” sebagai satu daripada pengangkutan alternatif untuk pulang ke kampung dengan selamat, selesa serta dapat menikmati harga tambang yang berpatutan.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, secara umumnya setiap kali musim perayaan, terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi oleh warga Pantai Timur.

“Pada tahun ini, kita menjangkakan pertambahan trafik yang drastik kerana sudah dua tahun tidak dapat pulang beraya disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP)”.

“Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan ini, kadar kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, sekali gus memberikan jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia.”

Tren ekspres khas ini akan beroperasi bagi laluan Pantai Timur yang bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat, dengan tawaran terhad kepada 516 tiket sahaja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Rani Hisham, tren khas ini merupakan perkhidmatan istimewa yang disediakan oleh KTMB untuk Keluarga Malaysia yang ingin pulang ke kampung dengan keselesaan dan menjimatkan masa.

“Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, kos tempat duduk premier dan superior, kos bufet dan koc chillax untuk aktiviti solat atau moreh beramai-ramai.”

Tiket akan mula dijual pada 15 April dengan harga bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala. Cenderamata khas juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan dengan tren khas ini.

Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan jadual pergerakan, tren ini akan berlepas pada 29 April, pukul 11.00 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat.

Jadual perjalanan tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia pada 29 April 2022.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi