Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan bakal menggunakan lebuh raya pada waktu puncak menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, terutamanya pada penghujung bulan Ramadan.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih awal supaya tidak terperangkap dalam kesesakan trafik.
“Hari-hari puncak bermula 29 April hingga 9 Mei, jumlah trafik harian boleh meningkat sebanyak 25 peratus, iaitu dua juta kenderaan sehari berbanding dengan 1.6 juta sehari pada ketika ini,” kata Ketua Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan pada pagi tadi.
“Oleh itu, kami menyarankan agar orang ramai supaya membuat perancangan awal dan pulang ke kampung lebih awal,” ujar beliau.
Sehubungan dengan itu, PLUS akan mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dalam waktu terdekat untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke kota masing-masing pada musim perayaan ini.
Datuk Azman Ismail turut menyatakan kesiapsediaan Pasukan Operasi PLUS bagi membantu orang ramai pulang ke kampung secara bersepadu dan menyeluruh, merangkumi pelbagai aspek, termasuklah adaptasi teknologi untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai.
Cuti umum Aidilfitri pada tahun ini adalah paling panjang kerana jatuh sejajar dengan cuti umum hujung minggu dan cuti umum Hari Buruh.