Diterbitkan pada 13 April 2022, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Kewangan II (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan duit raya daripada YBhg. Datuk Mohd. Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL kepada anak-anak yatim.

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyantuni anak yatim dan asnaf dalam program Ihya’ Ramadan Majlis Berbuka Puasa LHDNM bersama-sama YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Kewangan II yang diadakan di Ibu Pejabat HASiL semalam.

Seramai 45 orang anak yatim dan asnaf menerima sumbangan duit raya dan YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa turut menyempurnakan penyerahan sumbangan HASiL berjumlah RM5000 kepada setiap 10 buah rumah kebajikan dan pusat jagaan yang diraikan.

Pusat jagaan dan rumah kebajikan yang terlibat, termasuklah Rumah Anak Yatim Sg. Kantan, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Rumah Bakti Al-Kausar, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim UMMI Selangor, Pusat Jagaan Mesra Assalam, Rumah Amal Limpahan Kasih, Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, dan Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa.

YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa memuji usaha murni HASiL dalam meraikan penerima sumbangan ini, khususnya anak-anak yatim dan asnaf kerana mereka merupakan sebahagian daripada generasi yang akan mewarisi legasi negara.

“Semoga sedikit bantuan ini akan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” kata beliau dalam ucapan pada majlis tersebut.

Sementara itu, YBhg. Datuk Mohd. Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL dalam ucapannya pula berkata, “Dengan mengambil semangat kemuliaan bulan Ramadan, HASiL akan terus berusaha meningkatkan peranannya sebagai pentadbir cukai langsung di negara ini.

“Aktiviti-aktiviti teras pentadbiran cukai seperti penaksiran, pemungutan, audit, siasatan, pengesanan, pendidikan cukai dan khidmat pelanggan tetap diberikan keutamaan sepanjang bulan Ramadan ini. Hal ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan tidak terganggu serta menjamin kemapanan kutipan hasil negara,” tambah beliau lagi.

Turut sama hadir pada majlis ini ialah Anggota-anggota Lembaga, Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan warga kerja HASiL.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi