Diterbitkan pada 12 April 2022, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan jaminan bahawa Ujian Mendengar (UM) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 sesi kedua yang dilaksanakan pada 7 April 2022 akan kekal utuh.

Menurut LP, bahan audio dan kertas soalan UM peperiksaan SPM sesi pertama akan digunakan bagi calon sesi kedua berdasarkan pertimbangan beberapa perkara.

“Kertas soalan ini diklasifikasikan sebagai kertas tertutup dan tidak dibawa keluar oleh calon dari dewan atau bilik peperiksaan.”

“Sekiranya apa-apa jua maklumat berkaitan dengan UM SPM ini disampaikan oleh satu pihak kepada satu pihak yang lain, hal ini berlaku hanya dalam bentuk ringkasan wacana,” jelas LP menerusi satu kenyataan hari ini berikutan rasa tidak puas hati dalam kalangan guru dan ibu bapa tentang soalan ulang UM SPM.

Mengulas lebih lanjut, LP berkata, “Sekiranya calon menerima maklumat daripada satu pihak yang lain berkaitan audio tersebut, calon tetap perlu mempunyai kefahaman dan tafsiran masing-masing untuk menjawab dengan tepat.”

Keputusan ini telah mengambil kira pertimbangan bahawa soalan ujian itu adalah dalam pelbagai kaedah, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan juga subjektif respons terhad.

Oleh itu, calon perlu mempunyai kemahiran untuk mendengar, menganalisis dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan tersebut ketika ujian ini berlangsung.

Walau bagaimanapun, LP yakin bahawa integriti soalan peperiksaan ini akan kekal terjamin bagi memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi