Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-39 kembali menemui masyarakat, khususnya pencinta buku di negara ini bermula 3 hingga 12 Jun 2022. Perasmian PBAKL 2022 disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia buat julung kalinya selepas acara tradisi keilmuan ini terhenti seketika berikutan pandemik COVID-19 melanda dunia.
Sebelum perasmian oleh YAB Perdana Menteri, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin terlebih dahulu menyampaikan ucapan alu-aluan dengan menyatakan bahawa beliau amat berbesar hati atas kesudian YAB Perdana Menteri menyantuni penggiat industri dan pencinta buku dalam kalangan Keluarga Malaysia di negara ini.
“Penganjuran pada kali ini melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya, PBAKL 2022 dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia,” jelas YB Menteri Kanan Pendidikan. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemain industri buku, para pencinta buku dan pengunjung yang hadir bersama-sama memberi sokongan terhadap penganjuran PBAKL 2022 dengan memeriahkan pesta buku pada kali ini setelah tidak dapat dilaksanakan secara fizikal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal tahun 2020.
Dalam ucapan beliau, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin juga menyatakan penjualan buku turut dilaksanakan secara dalam talian bagi mengoptimumkan capaian pelawat. Bagi beliau, kemajuan teknologi digital telah banyak membantu perkembangan industri perbukuan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. “Sejajar dengan peredaran semasa, pemain industri perlulah peka dengan perkembangan teknologi digital dan menggunakan teknologi secara optimum agar industri perbukuan dapat memenuhi keperluan pencinta buku,” saran beliau.
YB Menteri Kanan Pendidikan turut menyatakan hasrat kerajaan menerusi KPM yang akan terus menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pemain industri perbukuan bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga sentiasa menggalakkan aktiviti industri perbukuan dalam usaha memperluaskan lagi akses pasaran buku di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa.
“Marilah kita sama-sama memberikan sokongan terhadap segala usaha yang dilakukan dalam menyemarakkan semangat membaca sepanjang hayat dan jadilah generasi yang sentiasa dahagakan ilmu dan cinta akan buku,” jelas Datuk Dr. Mohd Razdi Md Jidin dengan mengakhiri ucapan beliau sebelum acara perasmian diteruskan oleh YAB Perdana Menteri.