Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pasukan yang diberi gelaran “Team DYMM SSPJ” yang dibarisi oleh para pemain daripada Kelab Golf Putra (KGP) Perlis memperoleh 384 mata keseluruhan selepas menumpaskan pasukan “Ex Recce” yang memperoleh 359 mata dalam pertandingan golf yang diadakan di Lapangan Golf KGP Perlis, Sungai Batu Pahat, Perlis.

Dalam pertandingan tersebut, juara keseluruhan diraih oleh Zulkifli Said daripada “Team DYMM SSPJ” dengan memperoleh 47 mata. Sementara itu, dalam kategori pasukan, Mohd Nizar Mohd Shahab, memperoleh 43 mata, sekali gus mengungguli pasukan “Team DYMM SSPJ” manakala Brigedier Jeneral (B) Saari Omar yang mewakili pasukan “Ex Recce” mendapat 41 mata.
Semasa berlangsungnya acara tersebut, Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar. Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Presiden Kelab Golf Putra Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam titah ucapan baginda, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin mengalu-alukan pasukan “Ex Recce” yang bertandang ke Perlis. Baginda berkongsi cerita dengan menjelaskan bahawa suatu ketika dahulu, sejurus selepas menamatkan latihan di Royal Military Academy Sandhurst, baginda pernah berkhidmat sebagai seorang pegawai dalam “Recce Corps” atau “Kor Peninjau Diraja” dalam Angkatan Tentera Malaysia. “Recce Corps” kemudian diubah namanya menjadi “Kor Kavalri Diraja” dan terkini sebagai “Kor Armor Diraja”.
DYMM Tuanku Raja Perlis juga kelihatan masih bersemangat tinggi dan berkongsi beberapa kenangan dan pengalaman tentang perkara yang luar biasa ketika bersama-sama dengan kor berkenaan. Baginda menjelaskan bahawa banyak yang ilmu yang dipelajari sepanjang berada dalam pasukan “Recce” termasuklah jalinan kerjasama antara warganya tanpa mengira agama dan bangsa, selain sentiasa memberikan sokongan dan semangat yang padu antara satu sama lain. Titah baginda, itulah elemen yang paling penting dalam memastikan kekuatan sesebuah pasukan serta amalan yang menjadi tunjang utama bagi negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.