Diterbitkan pada 1 April 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan dan penyertaan daripada generasi muda dalam usaha membangunkan negeri ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Panglima Hajiji dalam sesi suai mesra bersama-sama Jawatankuasa Usahawan Muda Dewan Perniagaan Dewan Perniagaan Malaysia – China (MCCC – YEC), Cawangan Sabah, yang berlangsung di Sri Gaya.

Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bertukar-tukar pandangan dengan ahli rombongan MCCC – YEC.

“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan pandangan generasi muda kerana kita percaya bahawa pandangan mereka amat penting untuk membangunkan negeri ini,” ujar Datuk Seri Panglima Hajiji.

Umum mengetahui bahawa dasar inklusif yang dipraktiskan oleh Ketua Menteri Sabah telah membuka ruang kepada lebih banyak pihak yang terlibat dalam memberikan input sebagai satu daripada proses memakmurkan sosioekonomi rakyat di negeri ini.

Maka itu, dalam pertemuan tersebut Datuk Seri Panglima Hajiji turut meluahkan keterbukaan beliau untuk akomodasi bakat muda yang berwawasan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.

Rombongan yang dihadiri oleh lebih daripada 10 orang anak muda itu diketuai oleh, Ar James Wong Kein Peng yang baru dipilih sebagai Pengerusi  MCCC – YEC bagi penggal 2022 – 2024.

“Kesudian Ketua Menteri bertemu dengan rombongan ini mencerminkan kemesraan beliau terhadap pandangan orang muda. Paling penting, hal ini secara tidak langsung merupakan pengiktirafan Ketua Menteri terhadap aspirasi generasi baharu,” ujar Ar James Wong.

Antara mereka yang hadir dalam sesi suai mesra tersebut termasuklah Terrance Sak Yaw san, Joanne Chin, Dr. Chang Kee Ying, Shawn Tan, Dexter Yeh, Yee Tsai Yiew, Lim Eng Ming, Samson Chu Kian Sim, dan Douglas Chong. Sebahagian daripada mereka merupakan graduan dari luar negara yang memilih untuk pulang ke tanah air bagi mengembangkan karier masing-masing.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi