Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada petang ini berkenan berangkat merasmikan Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 di Hotel Putra Regency, Kangar, Perlis.

Ketika bertitah, baginda mengatakan bahawa pendidikan yang terdapat dalam kurikulum Pergerakan Pengakap sama ada di dalam kelas mahupun di luar bilik darjah adalah pendidikan yang menyeluruh.
Latihan yang dijalani oleh ahli pengakap juga melampaui kotak pemikiran seseorang ahli pengakap itu sendiri.
Atas dasar inilah akan wujud lebih ramai lagi individu yang lebih maju ke hadapan untuk membantu pergerakan sukarela seperti pengakap ini.
Baginda menzahirkan rasa bangga terhadap Ahli-ahli Pengakap Raja berjaya memperoleh sijil yang amat bermakna ini dan berharap agar mereka akan menjadikan pengalaman dan cabaran yang ditempuh sepanjang pembelajaran bagi membantu dalam kerjaya masing-masing, malah membantu dalam kehidupan pada masa hadapan.

Bagi penerima anugerah utama Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022, adalah terdiri daripada Laksmana Maritim, Dato’ Sri Haji Ahmad Puzi Haji Ab Kahar (B) (Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua-Perak), Hamidon Ahmad (Pingat Perkhidmatan Gemilang) dan Leftenan Kolonel Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Dato’ Seri Paduka DiRaja Adzhar Ahmad, Ho Thean Sung, Abu Bakar Abu Seman dan Muhammad Adzohmar Adzhar (Bintang Perkhidmatan Gemilang Perlis).
Sebagai Presiden Diraja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis, Raja Muda Perlis mengucapkan tahniah kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis, iaitu Majlis Pengakap Negeri dan Majlis Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perlis kerana menggunakan peluang yang ada meskipun menghadapi cabaran pandemik COVID-19, tetapi tetap berusaha menyediakan majlis ini.
Majlis ini sangat bermakna bagi semua pihak yang telah banyak berjasa kepada pergerakan pengakap sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Dato’ Hj. Mohd Zin Bidin (B) dan Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negeri Perlis, Azmi Abdullah.