Diterbitkan pada 31 Mac 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kerajaan negeri Sabah akan terus berusaha memperkasakan modal insan di negeri ini menerusi pelbagai strategi yang telah dirancang oleh kerajaan dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Hal tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tugas-tugas Khas, Pejabat Menteri Tugas-tugas Khas, Sapdin Ibrahim, dalam forum bertajuk Peranan Kerajaan Negeri Sabah dalam Memperkasakan Modal Insan di Sabah. Forum tersebut dianjurkan bersempena dengan sambutan Setahun Sabah Maju Jaya di Sabah International Convention Centre (SICC).

“Dalam berhadapan dengan dunia yang semakin mencabar, kita memerlukan modal insan yang mampu bersaing ” – Sapdin Ibrahim.

Menurut beliau, antara usaha kerajaan untuk memperhebat modal insan di negara ini termasuklah pemberian tajaan biasiswa dan dermasiswa kerajaan negeri yang berjumlah RM22.4 juta kepada 4777 orang pelajar sejak tahun 2019 hingga tahun 2022.  Selain itu, tajaan Yayasan Sabah sebanyak RM47.3 juta untuk 6388 orang pelajar (2019-2022); dan tajaan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), iaitu zakat sebanyak RM9.7 juta untuk 12496 orang pelajar.

“Tajaan ini semestinya telah membantu dan akan terus membantu lebih banyak anak watan negeri ini untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Inilah hasrat utama kerajaan untuk melahirkan modal insan berilmu, berdaya saing dan mampu membangunkan negeri ini kelak,” ucap Sapdin.

Tambahnya lagi, kerajaan Sabah turut menyediakan Program Bantuan Sosial Pendidikan, iaitu bantuan yang diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebanyak RM13 juta yang merangkumi pakaian sekolah, kasut, beg, dan keperluan lain. Kerajaan juga menyediakan Ihsan Makanan Pelajar Terjejas COVID-19 (IMPAC) yang berjumlah RM1 915 717 yang melibatkan 7769 orang penerima.

“Kita memahami kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Maka itu, kerajaan menyediakan IMPAC untuk meringankan beban mereka dengan hasrat tiada mana-mana pelajar dalam golongan sasar yang terjejas sehingga terputus bekalan makanan,” ujar Sapdin.

Pada tahun 2022, kerajaan turut menyediakan sebanyak RM8 juta untuk Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) kepada 40 ribu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam kategori B40. Turut disediakan ialah bantuan sekali beri sebanyak RM200 kepada mereka yang layak.  Bantuan Ihsan Komputer 2.0 (BAIK) juga diperkenalkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada 1000 pelajar institut pengajian tinggi (miskin tegar); Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) berjumlah RM5 juta khusus untuk 50 ribu bayi yang lahir pada tahun 2022 dan RM100 kepada penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SPPN).

“Menerusi BAKTI, BAIK dan BISTARI, kita percaya bahawa pelajar yang dikategorikan dalam B40 telah menerima manfaatnya. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, juga sentiasa memastikan lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada pelajar yang layak agar mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan. Hal ini membuktikan bahawa pendidikan menjadi keutamaan dalam kepimpinan beliau,” ucap Sapdin.

Selain itu, dalam usaha memperkasakan modal insan, masih terdapat banyak cabarannya. Menurut Sapdin, antara yang sering menjadi persoalan termasuklah sampai bilakah bantuan dan tajaan pendidikan dapat diberikan?; peruntukan dan kos yang semakin bertambah; penambahbaikan bantuan dan tajaan, iaitu perkhidmatan pengangkutan, makanan dan komputer setiap pelajar.

“Ini sebahagian cabaran yang perlu dihadapi dan harus dihadapi oleh semua pihak. Hal ini termasuklah hala tuju pendidikan, pembelajaran secara dalam talian, pendigitalan pendidikan, dan pelbagai inovasi yang dituntut dalam dunia ilmu ini,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi