Diterbitkan pada 30 Mac 2022, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu –  Sains teknologi dan inovasi merupakan pemacu terpenting dalam kemajuan sesebuah negara. Hal ini dibincangkan dalam program Ekadasa Sabah Maju Jaya 2022, yang bertajuk Modal Insan: Memperkasakan Ekosistem STIE di Sabah, yang berlangsung pada pagi ini, di Sabah International Convention Centre (SICC).

Ahli panel yang diundang untuk menjayakan forum ini,  iaitu Ketua Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Dr. Ramzah Dambul; Pengarah Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib; dan Pegawai Interim SMJ Hi-Talent, Verniun Maidin. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sabah Creative Economy & Innovation Centre, Viviantie Sarjui sebagai moderator forum.

Menurut Dr. Ramzah, negara pernah berada dalam kedudukan yang terbaik dalam bidang sains teknologi dan inovasi namun kita bergerak agak perlahan dan kini jauh ketinggalan berbanding dengan Korea. Hal ini dikatakan demikian kerana korea menjadikan sains teknologi dan inovasi sebagai pemacu yang menggerakkan negara tersebut. Hal ini berbeza daripada negara kita yang menjadikan bidang tersebut sebagai alat semata-mata. Walhal menurutnya, Sabah khususnya memiliki seluruh kekuatan yang boleh memacu sains teknologi dan inovasi secara menyeluruh dan dalam semua peringkat perkhidmatan dan kehidupan.

“Sains teknologi dan inovasi perlu dijadikan pemacu dalam pembangunan negara” – Dr. Ramzah Dambul.

Tambahnya lagi, Sabah juga mempunyai “ramuan” yang mencukupi dan akar umbi yang berkemahiran dalam pelbagai bidang, namun dengan ramuan yang mencukupi itu tidak akan menjadikan kita maju jika tidak ada usaha yang menggerakkannya. “Misalnya, kita ada ayam dan ramuan yang mencukupi namun semua ramuan itu tidak akan ‘berlari’ ke dalam periuk untuk dimasak menjadi lauk yang menyelerakan. Kita perlu berusaha dengan segala kekuatan yang kita ada. Untuk maju, sains teknologi dan inovasi ini perlu menjadi pemandu sosioekonomi kita” ujarnya.

Sementara itu, Hazami turut mengakui bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk mencapai kemajuan yang dipacu oleh perkembangan sains dan teknologi. Oleh itu, semua pihak yang berkepentingan perlu meletakkan visi Kementerian Sains, teknologi dan Inovasi, iaitu  Negara Berteknologi Tinggi melalui Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekosistem (STIE) sebagai keutamaan dalam semua bidang. Hal ini dikatakan demikian kerana menerusi STIE, Malaysia akan menjadi negara berteknologi tinggi dengan menerajui teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan daya saing global negara; memperluas pembangunan tekonogi negara dengan memantapkan dasar dan peraturan; menyediakan perkhidmatan dan pemboleh daya STIE yang berkesan dan cekap melalui tadbir urus yang tangkas; memperhebat bakat melalui pendekatan inklusif untuk penyampaian berprestasi tinggi; dan komunikasi sains yang berkesan bagi mempercepat pertumbuhan STIE.

“Kita perlu selari dengan kemajuan sains dan teknologi” – Hazami Habib

Bagi anak muda, Verniun pula berpandangan bahawa pandemik COVID-19 telah mempercepat penggunaan dan keperluan sains teknologi dan inovasi dalam kalangan rakyat di negara ini. Di Sabah, pascapandemik COVID-19 menyaksikan lebih ramai yang celik komputer dan banyak bidang kehidupan berubah ke aras yang lebih baik, cekap dan pantas. “Kita melihat dari sisi yang positif apabila pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, kita tidak dapat berhubung dan seluruh kehidupan kita tersekat. Maka itu, semua pihak beralih kepada kehidupan baharu dengan menjadikan teknologi sebagai penghubung utama untuk meneruskan kehidupan. Hal yang demikian juga dalam bidang pendidikan apabila kita melalui fasa baharu pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringat universiti,” ujar Verniun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi