Diterbitkan pada 29 Mac 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Pelbagai strategi yang berkaitan dengan aspek pemboleh daya berjalan seiring dalam memacu pelaksanaan tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Kejayaan tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam ucapan perasmiannya bersempena dengan Majlis Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang berlangsung pada pagi ini, di Sabah International Convention Centre (SICC).

Menurutnya, banyak inisiatif dan program yang telah direalisasikan di bawah teras pertama, iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi melalui tiga Sektor Fokus Utama, iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan yang kelak akan dihuraikan oleh setiap kementerian yang bertanggungjawab.

Fokus pertumbuhan sektor pertanian adalah untuk membina rantaian nilai, khususnya pengeluaran, penghasilan, pemprosesan dan pemasaran. Selain itu, untuk memastikan sektor ini lebih kompetitif melalui teknologi dan inovasi, usaha pemodenan ini melibatkan kumpulan petani, penternak dan nelayan sekali gus membantu membina kapasiti mereka dengan pelbagai bantuan serta bimbingan. Sementara itu, pelbagai usaha sedang digerakkan untuk melonjakkan potensi sebenar sektor perindustrian negeri Sabah.

“Kita optimis Sabah boleh kembali berada pada kedudukan sebagai kuasa besar industri (industrial powerhouse) di negara ini sebagaimana dalam era 1980-an. Maka itu, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah penambahbaikan infrastruktur, pembinaan kapasiti keusahawanan, penerokaan sumber khazanah secara mapan dengan rantaian nilai yang lebih tinggi, peningkatan pelaburan dan penyertaan syarikat tempatan dalam subsektor strategik,” jelasnya.

Hala Tuju SMJ bakal membawa kemajuan ekonomi yang inklusif kepada Sabah.

Dalam konteks ini, antara yang diberikan fokus termasuklah meningkatkan penyertaan bermakna negeri dan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas. Kejayaan kerajaan negeri dalam menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 7 Disember 2021 merupakan langkah penting merealisasikan hasrat tersebut. Melalui CCA, Sabah akan mempunyai suara, penyertaan dan perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas.

“Tidak sampai sebulan dari tarikh CCA dimeterai, kita telah dapat melihat hasilnya dengan Pelancaran Pelan Induk Gas Sabah (SGM) pada 4 Januari 2022. SMJ Petroleum Sdn. Bhd. telah ditubuhkan sebagai entiti negeri yang akan menyelaraskan tindakan susulan dan kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri minyak dan gas yang lain. Kerjasama rapat ini bermatlamat untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi kemajuan industri berkenaan di negeri ini sekali gus melonjakkan rantaian nilai penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkaitan dan syarikat-syarikat tempatan lain. Alhamdulillah, pada hari ini kita bakal menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan memorandum persefahaman yang melibatkan inisiatif pelaburan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP),” ucap Datuk Seri Panglima Hajiji.

Sementara itu, bagi sektor pelancongan, usaha sedang giat dilaksanakan bagi pembukaan produk pelancongan untuk pelancongan domestik dan sekali gus pembukaan sempadan negara secara berperingkat bermula 1 April 2022. Agensi-agensi berkaitan sedang melaksanakan promosi pelancongan yang lebih agresif, menyelenggarakan produk pelancongan sedia ada, memperkasa infrastruktur dan kemudahan asas, serta meneroka peluang baharu. Antara strategi yang dilaksanakan termasuklah mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia sejajar dengan matlamat mencapai ASEAN Standard menjelang tahun 2025. Kini, Sabah mempunyai lebih daripada 500 orang pengusaha pelancongan desa berasaskan komuniti.

Selain itu, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk merintis lonjakan imej dan persekitaran bandar utama khususnya Bandaraya Kota Kinabalu sebagai pintu masuk udara utama. Selain menambah baik prasarana dan kebersihan, landskap dan wajah Kota Kinabalu pada masa hadapan akan berubah dengan pelaksanaan pelbagai jenis projek pembangunan seperti di kawasan Waterfront, Star City, Hyatt Centric, The Shore, Sadong Jaya, Coral Bay, Tanjung Aru Eco Development, Jesselton Quay Central, Pavillion Harbour City, Jesselton 101, Botanical Garden, pengindahan Menara Jam Atkinson dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, lonjakan pembangunan ketiga-tiga sektor ekonomi utama di bawah Hala Tuju SMJ akan melibatkan inisiatif pelaburan sebagai enjin pertumbuhan. Sabah pastinya tidak boleh hanya bergantung pada inisiatif dan sumber domestik. Atas sebab itu, Datuk Seri Panglima Hajiji  amat bertegas dalam aspek keterbukaan dan komitmen dalam meningkatkan pelaburan.

“Sering saya ulangi bahawa kita mesti mengamalkan pendekatan mesra pelabur termasuk dalam urusan birokrasi. Hal ini dikatakan demikian kerana penilaian persekitaran pelaburan yang kondusif itu bukan hanya dalam konteks kestabilan, infrastruktur fizikal dan kekayaan sumber, tetapi juga polisi serta peraturan kerajaan dan amalan tadbir urus serta sikap jentera sesebuah kerajaan. Saya menyeru semua agensi berkaitan untuk menjadikan inisiatif pelaburan asing yang melibatkan syarikat Kumpulan LINACO bagi penanaman kelapa bersepadu, dan syarikat SK Nexilis bagi pembuatan kerajang tembaga, sebagai contoh dan model kejayaan untuk merealisasikan pelaburan dalam tempoh kurang setahun dari tarikh MOU dimeterai,” ujarnya.

Teras utama kedua Hala Tuju SMJ, iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat akan digerakkan secara berterusan sebagaimana komitmen untuk bukan sahaja menjadikan negeri Sabah maju, tetapi rakyatnya juga berkemajuan. Pembangunan modal insan yang merupakan pelaburan masa hadapan dilaksanakan melalui penambahbaikan program-program sedia ada dan inisiatif-inisiatif baharu yang melibatkan pendidikan, latihan, bimbingan, bantuan pengembangan kerjaya dan keusahawanan. Antaranya inisiatif BUDI, BAKTI, BAIK, BISTARI, BISBAH, BAGUS, AKSA, Dewan Belia Sabah dan Majlis Perundingan Pelajar Sabah, PitchBorneo dan banyak lagi. Pada masa yang sama, Datuk Seri Panglima Hajiji turut menegaskan bahawa kerajaan terus komited untuk meningkatkan peluang biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan.

Kesejahteraan rakyat juga akan terus menjadi teras penting dalam dasar dan program kerajaan. Dalam tempoh pandemik, kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan sejumlah RM1.2 bilion bagi membantu rakyat. Jumlah ini tidak termasuk bantuan bulanan dan bantuan sekali beri yang disalurkan kepada golongan yang memerlukan bagi kes kesihatan, bencana dan lain-lain.

Selain itu, pembinaan perumahan rakyat terus menjadi keutamaan. Antaranya termasuklah projek yang telah dan hampir siap, iaitu penyediaan sebanyak 750 unit rumah mampu milik di Papar dan di Tuaran. Sementara itu, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pembinaan sebanyak 175 unit rumah mampu milik sedang bermula yang melibatkan kawasan Kemabong, Sukau, Melalap dan Beluran. Turut dilaksanakan termasuklah pembinaan kompleks perumahan penjawat awam di tapak seluas 136 ekar di Papar.

Kualiti dan tahap kesejahteraan rakyat juga bergantung pada akses kepada jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang merupakan teras utama ketiga Hala Tuju SMJ. Keperluan penambahbaikan jaringan infrastruktur merupakan antara cabaran utama yang menuntut peruntukan yang amat besar. Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk mengenal pasti mekanisme penyelesaian. Di samping itu, kerajaan turut memastikan projek-projek berimpak yang telah diluluskan dapat segera dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual seperti Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan-jalan Luar Bandar dan Program JENDELA.

Tidak ketinggalan, kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk melaksanakan semua inisiatif yang dirancang dalam agenda kelestarian hijau. Maka itu, Sabah akan memastikan sasaran sebanyak 30 peratus atau seluas 2.2 juta hektar kawasan hutan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPAs). Hal ini sekali gus menjadikan Sabah sebagai teras kepada pelaksanaan Heart of Borneo Initiative. Sabah juga telah mendahului rekod tertinggi dalam menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi suku tahun pertama 2022. Selain itu, Jabatan Perhutanan Sabah telah berjaya merangka Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022 – 2036.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi