Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kangar – Kepesatan dunia digital dan Internet tatkala memerangi COVID-19 sememangnya sesuatu cabaran besar bagi sesebuah institusi pendidikan, termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM) untuk kekal relevan dalam usaha melahirkan siswazah yang berjaya.
Dalam hal ini, institusi pendidikan bukan sahaja dapat melahirkan siswazah yang berkualiti dan berintegriti sebagai pemimpin masa depan, namun penting juga bagi pihak berkuasa, pembuat dasar dan pelaksana dasar untuk menerima sebarang idea dan pemikiran ilmuwan dalam melakukan anjakan paradigma.
Titah Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor USM berharap agar sumbangan ahli akademik dan ilmuwan USM terus dihargai, lantas menjadi sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah negara. Baginda juga turut mendoakan agar USM terus berupaya melakukan perubahan demi kebaikan pembangunan masyarakat dan negara.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan warga USM yang terus menunjukkan prestasi cemerlang meskipun berdepan dengan COVID-19 yang jelas mengubah norma kehidupan masyarakat sejagat.
“Maka itu, kita harus menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi segala cabaran yang ada khususnya dunia digitalisasi ini,” titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menandatangani plak semasa menyempurnakan majlis perasmian Ulang Tahun Penerbit USM ke-50 di Dewan Bakawali, Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar Perlis semalam.
Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis ini telah disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Pro-Canselor, Timbalan Naib Canselor serta kepimpinan tertinggi universiti.
Menariknya dalam majlis anugerah ini, DYMM Tuanku Raja sendiri telah menyampaikan Anugerah Sanggar Sanjung bagi kategori “Ketokohan” sebagai tanda penghargaan terhadap pemimpin USM, manakala bagi kategori “Paten” disampaikan oleh Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan kategori “Penerbitan Jurnal dan Geran Penyelidikan Antarabangsa” disampaikan oleh Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan. Selain itu, penyerahan empat anugerah yang terdiri daripada “Pendidik Sanjungan”, “Pentadbir Sanjungan”, “Sanjungan Industri” dan “Kepimpinan Masyarakat” pula disampaikan oleh Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A.Hassan.
Pada masa yang sama, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali Mohd Rustam dan isterinya, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman juga turut hadir ke majlis tahunan ini bagi mengiktiraf dan mendorong pencapaian warga USM agar terus cemerlang dalam pelbagai bidang khususnya akademik, penerbitan, penyelidikan dan pentadbiran sama ada di dalam negara mahupun di persada dunia.