Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – “Tanggungjawab dalam melahirkan generasi yang hebat dan menjadi pewaris negara akan datang terletak di bahu dan di tangan bakal guru.” Petikan kata-kata tersebut merupakan antara inti pati ucapan perasmian Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia ke-11 oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Radzi Jidin.

Istiadat tersebut diadakan pada 27 hingga 31 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Graduan yang menamatkan pengajian serta latihan perguruan di 27 institut pendidikan guru kampus dan English Language Teaching Centre (ELTC) menerima pengiktirafan melalui penganugerahan ijazah, diploma dan sijil. Graduan tersebut juga diraikan dalam satu istiadat konvokesyen berpusat berdasarkan sidang dan pengkhususan pengajian tertentu. Sebanyak 8799 orang pelajar bagi tahun 2020 dan 2021 terlibat dalam istiadat konvokesyen ini.

Semasa ucapan perasmian, YB Menteri Pendidikan juga menekankan bahawa pentingnya proses menuntut ilmu yang berpanjangan. Walaupun telah tamat pengajian, namun pencarian ilmu harus diteruskan selagi hayat dikandung badan. Ujar beliau,
para graduan harus memahami bahawa menuntut ilmu ibarat sentiasa berada dalam dunia perantauan. Sifat merantau dalam mencari dan menuntut ilmu harus diteruskan dalam kehidupan.
Selain itu, beliau turut menyentuh tentang konsep “Sekolahku SEJAHTERA”. Konsep tersebut mengandungi 14 elemen penting berkaitan dengan nilai-nilai murni yang membantu dalam membentuk murid yang berkualiti tinggi.
14 elemen tersebut ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.
Beliau menyatakan harapan agar para graduan turut bersama-sama dalam merealisasikan dan menerapkan elemen tersebut dalam keperibadian murid.
Dalam dunia yang semakin mencabar sekarang, para guru harus melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran serta cakna terhadap keadaan sekeliling yang sentiasa berubah. Guru yang memiliki sikap itulah yang akan melahirkan seorang murid yang bakal menjadi pemimpin yang akan membawa negara lebih maju ke hadapan. Beliau juga memberikan penghargaan kepada para graduan yang terpaksa melalui tempoh pembelajaran dalam situasi pandemik COVID-19 yang cukup mencabar. Cabaran yang dihadapi tersebut terbukti bukan menjadi batu penghalang kepada para graduan.