Diterbitkan pada 27 Mac 2022, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Program IFLA 4.0 merupakan sebuah program yang mengumpulkan guru perpustakaan dan media untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah.

Nusajaya – “Para pelajar pada hari ini, tanpa mengira waktu mahupun lokasi, hanya perlu menaip di peranti untuk mencari maklumat tentang sesuatu perkara. Maka itu, pusat sumber sekolah wajar mencari kaedah yang lebih dikemas kini sesuai dengan perkembangan teknologi pada hari ini.”

Begitulah yang dinyatakan oleh Tuan Haji Azman Haji Adnan, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum di Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya ketika merasmikan majlis penutup Program IFLA 4.0 di Educity, Nusajaya, Johor.

Program tersebut berlangsung selama dua hari, iaitu pada 25 hingga 26 Mac 2022 di Educity, Nusajaya, Johor. Program IFLA (Innovative, Futuristic, Library and Academia) merupakan sebuah program yang mengumpulkan guru perpustakaan dan media (GPM) dari sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

Tujuannya adalah untuk berkongsi idea dan aspirasi dalam memajukan pusat sumber sekolah yang menjadi tunjang utama pelajar di sekolah untuk mengakses maklumat.

Pada peringkat awal, program ini hanya melibatkan GPM di negeri Johor dan telah diadakan buat julung kalinya pada tahun 2018. Pelaksanaan program ini pada tahun berikutnya merekodkan penambahan penyertaan yang mendadak dari negeri-negeri lain.

Hal ini dikatakan demikian kerana program IFLA ini terbukti berjaya memberikan impak positif kepada sekolah setelah menyaksikan transformasi yang memberangsangkan berlaku di pusat sumber sekolah.

Selain itu, antara aktiviti yang telah diadakan dalam program IFLA 4.0 termasuklah lawatan ke Educity International College Library, resensi dan pelancaran tiga buah buku yang ditulis oleh persatuan GPM, perkongsian idea pelaksanaan program Nilam dan slot dekorasi pusat sumber sekolah. Program ini juga turut dimeriahkan oleh reruai jualan daripada beberapa pempamer termasuklah wakil penjual Dewan Bahasa dan Pustaka.

DBP selaku penaja program telah mengisi slot akhir, iaitu program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang menampilkan editor majalah Dewan Siswa, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil dan editor majalah Dewan Pelajar, Puan Fansurina Ramli, serta taklimat ringkas berkaitan dengan JendelaDBP oleh Puan Nur Shamiera Zahid dari Bahagian Pengedaran dan Pemasaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi